Dr. Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUmPUR – Semua sekolah di Pasir gudang, Johor diarah ditutup serta merta berikutan berikutan pencemaran kimia Sungai Kim Kim yang telah menjejaskan kesihatan pelajar di kawasan terbabit sejak beberapa hari lalu.

Sehubungan dengan itu, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, semua pelajar, guru, kakitangan dan pekerja sekolah terbabit tidak perlu hadir ke sekolah masing-masing sehingga situasi kembali pulih.

“Berdasarkan kepada situasi semasa dan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk menutup semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang berkuatkuasa serta merta pada hari ini (13 Mac 2019) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan.

Pada petang tadi, KPM mengarahkan 34 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang, Johor ditutup serta merta berikutan pencemaran kimia itu.

Tindakan tersebut diambil untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini menimpa pelajar serta warga sekolah, kata Maszlee.

Tambah beliau, pihanya memohon agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/13/pencemaran-kimia-kementerian-pendidikan-arah-34-sekolah-ditutup-serta-merta/