Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji sama ada mahu menerima ataupun menolak langkah pihak-pihak tertentu yang berhasrat mahu membeli Malaysia Airlines Bhd. yang kini sedang dilanda kemelut.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun syarikat penerbangan itu diurus oleh pengurusan daripada luar namun, ia masih lagi mengalami kerugian.

“Kita nampak walaupun kita memilih pengurusan daripada luar tapi Malaysia Airlines masih mengalami kerugian.

“Satu daripada caranya ialah dengan menjualkan saja,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Dr Mahathir ditanya pemberita mengenai perkembangan terkini syarikat penerbangan berkenaan yang kini dilanda kemelut kewangan.

Ketika ditanya mengenai cadangan pemimpin Malaysia Airlines yang mendesak syarikat penerbangan tersebut dikekal di bawah kerajaan, Dr Mahathir menjawab kerajaan akan mempertimbangkan perkara itu.

“Kita timbang sama ada kita nak tukar pengurusan atau kita perkecilkan ataupun kita perbesarkan.

“Kita mempunyai banyak pesawat yang tidak diguna sepenuhnya dan ini menyebabkan kerugian,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pandangan peribadinya sama ada Malaysia Airlines perlu dikekalkan atau sebaliknya, Dr Mahathir berkata, beliau sayang kepada syarikat penerbaangan itu.

Ujarnya, beliau berhasrat mahu menjadikan Malaysia Airlines sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional namun, dengan keadaan yang telah berlaku hasrat tersebut mungkin tidak akan tercapai.

“Saya sayang Malaysia Airlines, saya nak Malaysia Airlines ini dijadikan satu airlines nasional. Tetapi, kita nampak seolah-olah kita tak mampu,” katanya. – MalaysiaGazette