Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya
Presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya, Wong Yan Ke bercakap kepada media mengenai bantahan terhadap Pengeksploitasian Kumpulan B40 oleh Pihak Pentadbiran UM di Pekarangan Bangunan Canseleri, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu pelajar Universiti Malaya (UM) terpaksa mencatu makan hingga ‘mengikat perut’ akibat kekangan kewangan, hari ini timbul pula mereka dipaksa membayar yuran makan malam di sebuah hotel mewah setiap tahun.

Jurucakap Suara Siswa UM, Muhammad Ahnaf Mohd Yunus mendakwa, lebih malang apabila yuran itu dipotong terus ke dalam akaun pelajar setiap awal tahun tanpa mengambil kira kedudukan kewangan pelajar.

“Ini adalah satu paksaan kerana ia telah dikreditkan ke dalam akaun setiap pelajar sebanyak RM120.

“Saya rasa kesal dan ia tidak adil, walaupun pihak kolej mengatakan ia adalah pilihan, tetapi ia telah dikreditkan terus ke akaun para pelajar.

“Tiada jaminan pihak UM akan memulangkan duit itu sekiranya pelajar mengemukakan surat. Proses itu ambil masa dan tiada jaminan duit itu dikembalikan kepada mahasiswa,” katanya pada sidang media di bangunan Canseleri UM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya, Wong Yan; Timbalan Naib Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM), Muhammad Haziq Azfar dan Presiden, Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Muhammad Syafiq Noor Azman.

Suara Siswa Universiti Malaya
Sebahagian pelajar persatuan Suara Siswa menunjukkan poster bantahan terhadap Pengeksploitasian Kumpulan B40 oleh Pihak Pentadbiran UM di Pekarangan Bangunan Canseleri, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 MAC 2019

Terdahulu Muhammad Ahnaf bersama beberapa pemimpin pelajar UM menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM, Prof Madya Ir Abdul Aziz Abdul Rahman; Mohammad Izzat Izzuddin Hamdan di bangunan Canseleri UM.

Setiap tahun, kolej kediaman UM akan mengadakan majlis untuk para pelajar di hotel-hotel mewah bertaraf lima bintang dengan mengenakan caj sehingga RM120.

Bayaran itu dikatakan dikredit terus ke akaun pelajar meskipun pihak universiti itu mengetahui bahawa lebih 60 peratus golongan itu merupakan daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Muhammad Ahnaf juga berkata, yuran makan malam tersebut sewajarnya dipulangkan semula kepada pelajar universiti awam itu yang ketika ini sedang bergelut untuk meneruskan pengajian dalam keadaan kewangan terhad.

“Kami berpendapat bahawa RM120 ini sewajarnya diberikan kepada pelajar supaya mereka mempunyai duit untuk makan.

“RM120 ini kami telah tuntut sejak semester lepas lagi (Oktober 2018), jadi kami amat menggesa pihak pentadbiran UM daripada Naib Canselor untuk mengambil tindakan segera supaya pengetua kolej kediaman menarik semula RM120 itu kepada pelajar

“Kita tidak mahu lagi yuran itu dikredtikan terus kepada pelajar. Meskipun ada pelajar yang membuat surat permohonan tetapi duit itu tidak boleh dikembalikan.

“Malah ada juga yang diugut dihalang tinggal di kolej kediaman kalau pelajar membuat surat agar yuran itu dipulangkan. Kami melihat perkara ini sangat serius,” katanya.

Memorandum bantahan itu antara lain mendesak pihak universiti memansuhkan kewajipan pelajar menghadiri majlis makan malam kolej kediaman, mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu serta laporan kewangan mengenai perbelanjaan yuran itu perlu telus. – MalaysiaGazette