Nurul Izzah digelar Puteri Reformasi oleh pejuang Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar difahamkan telah meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu telah mengemukakan peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Rakyat Mohd Ariff Md Yusof, Pengerusi PAC Ronald Kiandee dan Ketua Whip Pakatan Harapan, Johari Abdul.

Peletakan jawatannya dibuat susulan ketidaksefahaman Pakatan Harapan mengenai pemilihan kepimpinan PAC, menurut laporan Malaysiakini.

Gabungan itu sebelum ini berjanji agar pengerusi PAC diketuai pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan Ronald tidak perlu meletakkan jawatan selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Wong Kah Woh dari DAP pula kekal sebagai Timbalan Pengerusi PAC.

Ini bermakna buat kali pertama sejak 2004, kedua-dua jawatan tertinggi dalam PAC dipegang oleh wakil kerajaan.

Nurul Izzah sebelum ini mengkritik langkah kerajaan menyerahkan jawatan pengerusi PAC kepada wakil kerajaan. – MalaysiaGazette