Louis van Gaal

ENGLAND – Louis Van Gaal membidas bintang Paris Saint Germain Angel di Maria yang menyalahkan bekas pengurus Manchester United itu sebagai punca dia terpaksa meninggalkan Old Trafford.

Di Maria menyertai Manchester United pada tahun 2014 dari Real Madrid.

Bintang antarabangsa Argentina itu melengkapkan perpindahan dari La Liga Sepanyol dengan yuran bernilai 59.7 juta pound.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan menyertai Theatre of Dreams, prestasinya tidak seperti yanh dijangkakan dibawah kendalian van Gaal sebelum meninggalkan EPL setahun kemudian.

Kini bekas pemain the Red Devils itu menuding jari ke arah bekas pengurus Belanda sebagai penyebab kepada kehancuran prestasinya di Manchester United.

“Saya di Manchester United dan semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan dibawah bimbingan van Gaal pada dua bulan pertama.

“Namun selepas pergaduhan, segalanya sudah berubah sehingga hubungan saya dengan Van Gaal tidak sama seperti awal musim.

“Pergaduhan itu tercetus kerana dia asyik menunjukkan saya perkara yang negatif dan tidak membina untuk meningkatkan pencapaian saya.

“Suatu hari saya secara tegas maklumkan dia supaya hentikan segala perkara negatif itu dan menyoal kenapa tidak mahu memandu saya ke arah tunjuk ajar yang positif.

“Dari situlah dia mula membenci saya kerana tidak suka dengan cara peneguran saya dan masalah mula membesar,” katanya.

Kini dalam wawancara khas kepada BBC, van Gaal kini membidas kenyataan di maria itu sambil mendedahkan pemain itu tidak dapat menahan tekanan dalam Liga Perdana Inggeris dan melarikan diri.

“Di Maria kata saya yang bermasalah..sedangkan saya memberi peluang kepadanya untuk beraksi dalam setiap posisi menyerang dan kamu boleh menyemak.

“Tetapi saya mendapati dia gagal menyerlah dalam setiap posisi yang diletakkan sehingga saya dapat merasakan dia tidak dapat menerima tekanan itu dan itu masalah dia,” katanya.- MalaysiaGazette