KUALA LUMPUR – Penyerang import terbaharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Miguel Angel Junco Martinez mahu menjaringkan gol sebanyak mungkin bagi membantu pasukan itu meraih pencapaian terbaik.
Pemain kelahiran Sepanyol berusia 31 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Mika Junco menjadi pemain import keenam yang bersama skuad Hobin Jang Hobin dalam menghadapi kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini yang bakal membuka tirainya, 10 Mei ini.
Menurut Mika, walaupun kali pertama beraksi di Liga Malaysia namun dia sentiasa mengikuti rapat perkembangan bola sepak di negara ini kerana pernah beraksi di Liga Perdana Kemboja ketika bersama pasukan Svay Rieng FC.
Dia yang pernah muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 36 gol serta 10 bantuan gol menerusi 61 penampilan bersama FC KTP dalam liga Finland selama tiga musim itu 2020, 2022 dan 2023 akui teruja dapat bersama NSFC.
“Saya mengenali kelab ini ketika beraksi di Kemboja dan rasa teruja kerana dapat bersama Negeri Sembilan. Rasa tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan ini. Saya mahu memberikan yang terbaik di sini,” kata Mika dalam satu kenyataan di media sosial kelab itu.
Keputusan untuk mengambil Mika sebagai penyerang baharu menunjukkan tekad NSFC untuk meningkatkan prestasi pasukan terutama dalam saingan Liga Super 2024/25 ini selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kesembilan musim lalu.
Malah, kehadiran Mika yang pernah meraih gelaran pemain terbaik pada 2022 juga disambut dengan baik oleh penyokong pasukan itu.
Mereka mengharapkan pemain berketinggian 1.77 meter (m) ini berkenaan dapat memperagakan aksi terbaik sekali gus mampu meningkatkan prestasi pasukan dalam saingan liga.
NSFC dijadual bakal memulakan cabaran dalam saingan Liga Super musim ini menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) di gelanggang lawan pada 18 Mei depan. – MalaysiaGazette