Hari Kumar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan pandu melulu dan berbahaya.

KOTA TINGGI – Tindakan seorang operator kilang di Singapura memandu secara melulu dan membahayakan serta menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis trafik Ahad lalu membawa padah apabila didakwa hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, S Hari Kumar, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Norkhalida Farhana di Mahkamah Majistret hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 13 September lalu lebih kurang 10.03 pagi, tertuduh sebagai penunggang motosikal Yamaha 135LC menunggang di Jalan Yusuf, bandar Kota Tinggi secara melulu dan membahayakan hingga mungkin menyebabkan bencana iaitu patah tangan kanan kepada Koperal Mohd Fauzi Che Zakaria.

Berikutan itu, dia didakwa sudah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama maksimum lima tahun dan didenda tidak lebih daripada RM15,000.

Mahkamah juga hendaklah memerintahkan lesen memandu tertuduh boleh diendorsekan, hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.

Jika seseorang yang memegang lesen memandu percubaan disabitkan di bawah seksyen ini, mahkamah boleh membatalkan lesen memandunya.

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh pada pukul lebih kurang 9.45 pagi bertempat di Jalan Yusuf di hadapan kedai Amysha Toy telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada anggota polis yang sama semasa penjawat awam itu menjalankan kewajipannya dengan sah di sisi undang-undang sebagai penjawat awam.

Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 333 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara yang sampai 10 tahun dan dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nuraini Shapee manakala tertuduh diwakili peguam B Mariammah.

Wan Nuraini meminta mahkamah agar mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Mariammah bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah memandangkan tertuduh bekerja di Singapura dengan gaji 1,500 (SGD) serta perlu menanggung ibu bapanya.

Norkhalida Farhana kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta menetapkan 5 Oktober untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here