SPRM

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan dan juga jutawan bergelar Datuk Seri bakal didakwa esok selepas dipercayai menerima wang berjumlah RM19 juta bagi mempengaruhi menutip kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Datuk Seri itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima wang berkenaan daripada syarikat pembinaan utama projek kontroversi itu.

Syarikat pembinaan itu membayar wang berjumlah RM19 juta secara berperingkat sekitar Julai dan Ogos 2017.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Tambahnya, suspek akan menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pukul 9 pagi esok.

Untuk rekod, Datuk Seri itu pernah disiasat SPRM dan direman pada tahun lalu.

Projek mega terowong itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. – MalaysiaGazette