Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani diiringi Pegawai SPRM tiba untuk permohonan reman kerana disyaki menerima jam tangan mewah bernilai kira-kira RM28,000 di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 02 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh kebenara menahan reman Setiausaha Politik, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu siasatan kes menerima suapan berbentuk jam tangan berjenama Omega bernilai kira-kira RM28, 000.

Perintah reman selama empat hari sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal selepas membenarkan permohonan Pegawai SPRM, Irsyad Bacotang.

Setiausaha Politik kepada Datuk Salahuddin Ayub itu berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki semalam mengesahkan penahanan lelaki tersebut.

Difahamkan, jam itu dipercayai diberi oleh sebuah syarikat sebagai dorongan untuk mendapatkan projek di bawah kementerian berkenaan.

Lelaki tersebut ditahan bagi siasatan lanjut berhubung penerimaan jam mewah selain kemungkinan wujud kes rasuah yang lain.

Siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, lelaki terbabit tiba di mahkamah pukul 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan berwarna hitam sambil diiringi beberapa pegawai agensi penguatkuasa berkenaan.

Dia hadir dengan memakai baju-T warna oren tertera tulisan ‘Lokap SPRM’ .

Dia mengambil masa selama dua jam bagi menunggu majistret mengeluarkan perintah reman tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/01/setiausaha-politik-ditahan-saya-tidak-akan-campur-tangan-siasatan-sprm-salahuddin/