Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

KUALA LUMPUR – Kes berprofil tinggi yang melibatkan rampasan barangan isteri VVIP sebelum ini tidak melibatkan urusan jual beli.

Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah berkata, ini kerana ejen jualan yang membawa masuk berlian merah jambu itu telah mengisytiharkan barangan berharga itu dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata, pada masa sama ejen tersebut turut melakukan perkara sama dengan jabatan yang sama ketika meninggalkan negara ini.

“Bagi kes berprofil tinggi ini, saya ingat telah dijawab oleh menteri (Lim Guan Eng) pada tahun lepas bahawa dia dibawa masuk oleh ejen. Ya, ejen dah ikrar bawa masuk, kemudian ada pengikraran benda yang sama bawa keluar.

“Jadi tidak berlaku pembelian (oleh isteri VVIP itu), sudah dibawa balik oleh ejen ini.

“Tapi saya ingat sempat kita semua tengok pink diamond (berlian merah jambu) semua itu, tapi kemudiannya dia sudah dibawa balik dari Malaysia,”  kata ketika menyampai ucapan perbahasannya ketika menggulung peringkat dasar Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2019 do Dewan Rakyat di sini hari ini.

Amiruddin berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) sekiranya terdapat sebarang borang Jabatan Kastam telah diisi dan cukai atau duti kastam dibayar berhubung dengan lebih 40 unit barangan kemas yang melibatkan isteri seorang VVIP yang juga seorang ahli parlimen. – MalaysiaGazette