Pesawat Boeing 737 MAX 8

BEIJING – China Aircraft Leasing Group Holdings Ltd (CALC) berkata, syarikat itu tidak menangguhkan pesanan bagi tempahan 100 pesawat Boeing Co 737 MAX .

Malah, CALC juga tidak menangguhkan pembayaran.

Ia menjelaskan semula laporan awal oleh akhbar South China Morning Post (SCMP) yang didakwa tersalah lapor tentang kenyataan Pengerusi CALC, Chen Shuang.

Akhbar yang berpangkalan di Hong Kong telah mengemas kini berita yang memetik kenyataan Ketua Eksekutif CALC, Mike Poon yang berkata syarikat itu tidak menghentikan pembayaran tetapi penghantaran pesawat masih ditangguhkan.

Lantaran itu, CALC tidak perlu membuat bayaran untuk masa ini.

“Buat masa ini syarikat kami tidak ada rancangan untuk mengubah tempahan pesawat Boeing dan kami tidak menggantung pembayaran,” kata jurucakap CALC.

Penyewa pesawat yang tersenarai di Hong Kong, yang dikuasai oleh konglomerat milik negara China, Everbright Group Co Ltd, telah menempah 50 buah pesawat 737 MAX pada Jun 2017 dan kemudian meningkatkan jumlah itu.

Jurucakap Boeing berkata, pembuat pesawat itu memberi tumpuan kepada pelanggan sokongan dan memastikan 737 MAX kembali melakukan penerbangan komersial.

“China Aircraft Leasing Group Holdings telah dan terus menjadi pelanggan yang dihargai dan kami minta maaf atas gangguan yang menyebabkan keadaan ini,” kata jurucakap itu. – MalaysiaGazette