Najib Razak

KUALA LUMPUR – Terdapat kemungkinan besar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digantung selama tiga bulan kerana melanggar peraturan mesyuarat dengan memuat naik kandungan kertas putih Felda yang berstatus embargo semalam.

Menurut sumber, usul penggantungan yang berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul akan dibawa pada sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.

Seandainya usul tersebut mendapat kelulusan maka Najib yang meripakan Ahli Parlimen Pekan akan berdepan dengan penggantungan selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta.

Najib didakwa melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melakukan suatu perbuatan menghina majlis mesyuarat.

Kesalahan Najib dianggap amat serius kerana melanggar embargo dokumen Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda yang dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pagi semalam.

Najib telah memuat naik dokumen berkenaan selang beberapa jam sebelum pembentangan tersebut, sekaligus menyebabkan rata-rata wakil rakyat merasa tidak senang termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merasakan ia adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Dalam usul yang akan dibawa hari ini menyebut;

“Bahawa pada hari Selasa, 9 April 2019, 5.39 petang, Yang Berhormat Pekan, Datuk Seri Najib Razak, mengeluarkan kenyataan dan memaparkan perenggan 1.4.6 dan 1.4.7, muka surat 8, Lampiran 1 – Bab 3, Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA di akaun media sosial Facebook beliau ‘Najib Razak’.

“Kertas Putih berkenaan adalah Kertas Perintah 6 Tahun 2019 yang masih dalam Embargo sehingga 11.30 pagi, Rabu, 10 April 2019,” lapor usul berkenaan.

Mengikut tatacara dewan, usul berkenaan akan disokong oleh seorang Ahli Parlimen sebelum Yang di-Pertua mengeluarkan arahan menguatkuasakan perintah penggantungan.

Semalam Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzhil membangkitkan isu berkenaan ketika sesi penggulungan kertas putih Felda.

Mohamed Azmin mahu kerajaan mengambil tindakan keras terhadap Najib kerana mendedahkan sebahagian daripada Kertas Putih Felda sebelum ian dibentangkan.

Najib bertindak membela diri dengan memuat naik dokumen bergambar yang menunjukan sebahagian daripada kandungan Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Dalam Peraturan Mesyuarat 95A termaktub mana-mana pihak yang mendedahkan keseluruhan atau sebahagian dokumen mesyuarat Dewan Rakyat berstatus embargo, adalah melakukan perbuatan yang menghina Dewan Rakyat. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/10/tindakan-tegas-atas-najib-sebagai-satu-peringatan/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/10/najib-tidak-ada-kejantanan-bersemuka-dengan-saya-di-dewan-rakyat-azmin-ali/