ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini, seiring dengan sentimen pasaran serantau ketika aktiviti pengambilan untung membabitkan kaunter pengguna dan perladangan terpilih terus mengekang peningkatan pasaran tempatan, kata peniaga.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.16 mata kepada 1,631.33 daripada 1,630.17 sewaktu pasaran ditutup pada Jumaat lepas.

Sewaktu dibuka pagi ini, indeks petunjuk utama itu meningkat 4.78 mata kepada 1,634.95 dan susut antara 1,630.83 dan paras tertinggi harian 1,638.87 pada tengah hari.

Sentimen pasaran adalah lemah dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 595 berbanding 311 manakala 371 kaunter tidak berubah, 615 tidak didagangkan dan 31 lain digantung.

Jumlah dagangan juga susut kepada 3.13 bilion unit bernilai RM1.75 bilion daripada 3.26 bilion unit bernilai RM2.08 bilion.

Sementara itu, Penganalisis Penyelidikan FXTM Lukman Otunuga berkata pasaran Asia memulakan dagangan minggu ini dalam persekitaran yang menyaksikan peningkatan sentimen risiko susulan permulaan musim pendapatan terkini Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh.

“JPMorgan dan Wells Fargo memulakannya pada minggu lepas dengan pelaporan pendapatan yang lebih kukuh, sekali gus memberi keyakinan kepada kalangan pedagang ekuiti bahawa korporat AS mencatat prestasi baik dalam persekitaran ekonomi menggalakkan di negara itu.

“Maklumat seterusnya yang positif bagi baki musim pendapatan itu sepatutnya memberi kesan dari segi sentimen risiko dan membantu meningkatkan keyakinan pelabur selagi ia tidak mendedahkan sebarang keputusan atau kejutan negatif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, faktor lain yang mempengaruhi risiko permulaan dagangan minggu ini adalah angka perdagangan luar China bagi bulan Mac yang diumumkan pada akhir minggu lepas dan turut meredakan kebimbangan mengenai penyusutan momentum ekonomi negara tersebut.

“Eksport China bagi bulan itu agak mengejutkan kerana berpihak ke arah aliran yang meningkat. Ini membuktikan bahawa permintaan global terhadap dagangan masih utuh dan akan membantu mengukuhkan ekonomi China,” katanya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi seperti Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing susut dua sen kepada RM9.25, RM22.58 dan RM5.58 manakala Petronas Chemicals naik enam sen kepada RM8.90 dan TNB untung empat sen kepada RM12.32.

Bagi saham aktif, Sapura Energy susut satu sen kepada 33.5 sen, Prestariang rugi tujuh sen kepada 53 sen, Hibiscus Petroleum turun tiga sen kepada RM1.14 manakala Eduspec menokok satu sen kepada empat sen.

Indeks FBM Emas naik 0.28 mata kepada 11,561.74, FBMT 100 meningkat 5.64 mata kepada 11,391.61 namun FBM 70 susut 2.89 mata kepada 14,475.60.

Indeks FBM Emas Syariah naik 6.21 mata kepada 11,768.60 dan indeks FBM Ace merosot 77.83 mata kepada 4,671.57.

Mengikut sektor, indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.35 mata kepada 16,828.42, indeks Perladangan menambah 2.25 mata kepada 7,271.59 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.21 mata kepada 168.34.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.79 bilion saham bernilai RM1.54 bilion daripada 2.37 bilion saham bernilai RM1.89 bilion pada Jumaat.

Jumlah waran meningkat kepada 541.80 juta unit bernilai RM131.21 juta daripada 401.6 juta unit bernilai RM93.2 juta, sebelum ini.

Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 800.32 juta saham bernilai RM80.60 juta daripada 491.4 juta saham bernilai RM89.7 juta pada Jumaat.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 298.03 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (273.18 juta), pembinaan (232.86 juta), teknologi (165.01 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (35.92 juta), hartanah (167.76 juta), perladangan (14.40 juta), REIT (9.52 juta), dana tertutup (11,300), tenaga (481.09 juta), penjagaan kesihatan (18.40 juta), telekomunikasi dan media (28.11 juta), pengangkutan dan logistik (31.90 juta) serta utiliti (34.13 juta). – MalaysiaGazette