Nik Safiah Karim
Dr. Nik Safiah Karim

KUALA LUMPUR – Penukaran nama baharu untuk Program Permata Negara (Permata) sepatutnya menggunakan Bahasa Melayu.

Pakar Bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, tidak sepatutnya penjenamaan semula program itu ditukar dengan nama bahasa Inggeris yang hanya menunjukkan kemiskinan bahasa semata-mata.

“Apa pula bahasa Inggeris… Kalau nak tukar atas sebab tertentu carilah bahasa Melayu yang lebih baik. Kenapa terlalu nak tonjol bahasa Inggeris.

“Carilah yang bahasa Melayu tulen kenapa nak tunjukkan kita miskin bahasa,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penjenamaan semula nama program Permata yang diilhamkan oleh Datin Seri Rosmah Mansor sebagai Genius, seperti yang diumum oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini.

Menurut Maszlee, keputusan itu dibuat agar program tersebut lebih berdaya saing.

Nik Safiah berpendirian, nama Permata begitu natural tanpa sedikitpun memberi gambaran kecederungan terhadap mana-mana pihak sehingga kerajaan perlu untuk menukarnya.

“Tidak ada buruknya pada nama Permata. Saya bertanya kenapa nak ubah sebab Permata, ia natural dan cantik,” menurut beliau.

Program Permata mula dilaksanakan pada 2007 turut merangkumi Permata Negara, Permata Seni, Perkasa Remaja dan Permata Kurnia yang memberi tumpuan terhadap usaha mendidik dan membimbing kanak-kanak pada peringkat awal sehingga remaja bagi mengembangkan potensi dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sosial dan komunikasi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan