azizi safar
Azizi Safar

KUALA LUMPUR – Jika dulu, rata-rata pimpinan Pakatan Harapan (PH) boleh mendabik dada kononnya mampu mendapatkan sokongan serta undi yang bukan Melayu.

Malah janji mereka, apa sahaja yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, mereka mampu melakukannya khasnya yang melibatkan kepentingan India dan Cina.

Tetapi sejak mengambil tampuk pemerintahan negara, semua itu hanya tinggal sekadar janji nampaknya.

Terbaharu, kekalahan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Dr. S. Streram daripada PKR dengan hanya mendapat 5,887 undi manakala calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya memperoleh 10,397 undi daripada 56 saluran mengatasi tiga pencabarnya dengan majoriti 4,510 undi menjadi bualan umum.

Walaupun peratusan yang keluar mengundi adalah yang paling tertinggi malah pengundi dalam kalangan India merangkumi 26 peratus manakala Cina 18 peratus namun Streram yang juga pakar bius itu tetap jauh ke belakang berbanding Mohamad.

Apa yang lebih menghairankan, walaupun dengan kehadiran Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson yang dikatakan bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun nasib tidak menyebelahi PH.

menari

Menurut pemerhati politik yang juga merupakan ahli UMNO, Azizi Safar, punca kekalahan Streram adalah kerana faktor Anwar sendiri.

Kata beliau, kehadiran Anwar yang banyak menonjolkan diri berbanding dengan calon banyak memberikan impak kepada kekalahan itu.

Anwar dikatakan begitu khusyuk berkempen seolah-solah beliau calon PRK Rantau bukan Streram.

“Anwar kata dia tak mahu mengulas mengenai kekalahan PKR di Rantau kecuali calon Streram kalah kerana Rantau adalah kawasan pengundi Melayu.

“Deyyyy! Di DUN Rantau, 55.5 peratus pengundi adalah orang Melayu, 18.5 peratus pengundi Cina dan 26 peratus pengundi India.

“Rantau bukanlah seperti Semenyih. Komposisi pengundi Rantau berbeza dengan DUN Semenyih di mana pengundi Melayu adalah sebanyak 67 peratus, pengundi Cina 17 peratus dan India 14 peratus.

“Perlu diingat, Anwar berkempen seperti dia yang jadi calon di #PRKRantau. Streram kalah kerana Anwar terlalu menonjolkan dirinya sendiri sepanjang tempoh kempen berlangsung berbanding calon.

“Salah Anwar, Streram kalah,” dakwa Azizi.

Beliau berkata, dalam nada berseloroh, ada kemungkinan Anwar akan ‘berkhemah’ di PRK Sandakan pula bagi menebus kekalahan  PH selama tiga kali berturut-turut.

“Oleh itu Anwar akan berkhemah di Sandakan pulak kerana ingin menebus kekalahan PH sebanyak tiga kali berturut-turut di PRK Semenyih, Cameron Highlands dan Rantau.

“Jangan lupa buat konsert lagi… Tapi tarian MGR mungkin tak ‘laku’ di Sandakan,” sinisnya.

Mohamad yang mula bertanding di kerusi itu pada PRU-11 pada tahun 2004 berjaya menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Pada PRU-12 dan PRU-13, Mohamad menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/14/masyarakat-india-muak-bosan-dengan-pimpinan-india-faham-atau-tidak/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/13/saya-ingat-pengundi-india-akan-pilih-streram-kata-mb-negeri-sembilan/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. itu sangkaan umno saja nak burukan anwar dimata rakyat. padahal orang pilih tokmat atas dasar berkawan sebagai saudara sejak kecil.

Comments are closed.