Bangunan Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terkorban dalam letupan di beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka hari ini.

“Sehingga 1.30 petang (masa Malaysia), tiada rakyat Malaysia maut,” katanya.

Malaysia juga mengutuk serangan itu dan berharap pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah kejam ini dibawa ke muka pengadilan.

Kementerian Luar Negeri turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Sri Lanka supaya tidak mendekati kawasan berkenaan.

“Rakyat Malaysia di sekitar kawasan itu dinasihatkan untuk berhati-hati dan memantau  perkembangan terkini melalui berita tempatan serta pihak berkuasa tempatan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sekurang-kurangnya 137 orang terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera dalam letupan di beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka.

Sebanyak enam letupan dilaporkan berlaku – tiga di gereja Kochchikade, Negombo dan Batticaloa yang sasarkan semasa sambutan Easter.

Hotel Shangri La, Cinnamon Grand dan Kingsbury hotels di Colombo turut dibom. -MalaysiaGazette