Datuk Seri Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempertahankan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak lagi boleh menjadikan 1MDB sebagai alasan untuk mereka tidak menunaikan janji manifesto atau meneruskan propaganda.

Ini kerana, 1MDB masih lagi memiliki 40 peratus daripada projek Bandar Malaysia yang bernilai RM180 bilion dan memiliki kepentingan majoriti dalam projek TRX bernilai RM40 bilion termasuk 40 peratus bagi pembangunan TRX Lifestyle Quarter.

Malah, Bandar Malaysia juga berhutang dengan 1MDB sekitar RM7.4 bilion.

Apabila kedua-dua projek ini sedang berjalan, ekonomi turut berkembang dan kerajaan pula akan mengutip cukai dan manfaat daripada proses ini menerusi syarikat, pekerja, pembekal dan pembeli hartanah dalam projek tersebut, katanya.

Kerajaan akan mengutip cukai jualan, korporat, duti setem peribadi dan juga keuntungan daripada pemilikan 40 peratus saham 1MDB di Bandar Malaysia serta kepentingan majoriti dalam projek TRX.

“Pendapatan ini sememangnya boleh digunakan untuk membayar hutang,” jelasnya sambil menyindir bahawa ia adalah sesuatu yang menakjubkan apabila kerajaan PH tidak tahu kesan ekonomi atau kajian kebolehlaksanaan sesuatu projek bernilai puluhan bilion ringgit.

Beliau juga menyelar Tony Pua yang sebelum ini mendakwa kerajaan Barisan Nasional pada 2017 dan awal 2018 secara rahsia membayar RM6.77 bilion hutang 1MDB.

Sementara kerajaan PH perlu membayar lebih RM1.16 bilion hutang 1MDB pada 2018.

“Rahsia? Tony dan Lim Guan Eng sendiri mengesahkan bahawa aset 1MDB telah dipindahkan ke Kementerian Kewangan. Sebagai pelajar jurusan akauntan pastinya tahu bahawa pemindahan aset tidak boleh dilakukan dengan sebegitu mudah, tanpa mengambil kira pinjaman berkaitan aset tersebut.

“Bila Kementerian Kewangan ambil aset, Kementerian Kewangan juga perlu membayar pinjaman. Ini adalah logik dan asas perakaunan.

“Tony kata pinjaman kekal berjumlah RM39 bilion adalah kerana 1MDB ada hutang RM7 bilion dengan Kementerian Kewangan.

“Tony sebaliknya perlu menjawab persoalan tentang jumlah sebenar Kementerian Kewangan berhutang dengan 1MDB selepas mengambil alih aset berharga iaitu TRX dan Bandar Malaysia?”

Ka Siong secara sinis turut mengucapkan terima kasih di atas pengakuan Tony bahawa hutang negara telah meningkat dengan ketara dan pantas, sekali gus membuktikan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah melakukan kesilapan apabila menyatakan hutang negara telah merosot.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, hutang negara telah meningkat sebanyak RM95.1 bilion termasuk Bon Samurai RM7.3 bilion.

Jumlah itu jika dicampur dengan tunai dari Petronas sebanyak RM82 bilion menjadi RM177.1 bilion.

Menurutnya, jumlah itu sudah mencukupi untuk menghapuskan keseluruhan pinjaman PTPTN sebanyak RM40 bilion dan hutang Prasarana Malaysia Berhad berjumlah RM31 bilion pada akhir tahun 2018 serta hutang 1MDB sebanyak RM39 bilion.

Malah, ia masih mempunyai baki sebanyak RM60 bilion.

Namun dakwa yang demikian, tiada sesen pun hutang negara dikurangkan dibawah pentadbiran kerajaan PH walaupun sudah begitu banyak wang dikikis.

Sedangkan, katanya, pendapatan ini boleh digunakan untuk membayar hutang. – MalaysiaGazette