Saifuddin Nasution
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail .
PUTRAJAYA – Program Food Bank Malaysia yang membantu golongan kurang berkemampuan mendapat makanan tanpa karenah birokrasi adalah antara pencapaian membanggakan Pakatan Harapan dalam usaha meringankan kos sara hidup rakyat sejak dipilih menjadi kerajaan Mei lepas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata insiatif di bawah konsep “Zero Waste Policy” dicetuskan kementeriannya selaku sekretariat dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.
“Program ini berjaya melahirkan ramai sukarelawan tanpa mengharapkan sebarang imbuhan selain dapat mendidik pasar raya dan premis makanan mengelakkan pembaziran,” katanya dalam sidang media sempena setahun PH membentuk kerajaan di sini hari ini.
Program berkenaan yang bermatlamat meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan penuntut institusi pengajian tinggi awam, sudah memanfaatkan 85,489 penerima dari Ogos tahun lalu sehingga Mac 2019.
Ia menyasarkan lebihan makanan seperti roti, sayur dan buah-buahan dari beberapa pasar raya besar diagih kepada 186,354 ketua isi rumah (KIR) di bawah paras garis kemiskinan di seluruh negara selain dapat menyelamatkan 1,156 metrik tan lebihan makanan sejak ia dilaksanakan.
Mengenai cadangan beberapa pejuang bahasa agar nama Food Bank ditukar kepada Tabung Makanan, beliau berkata proses itu mungkin akan memakan sedikit masa berikutan nama Yayasan Food Bank sudah didaftarkan dengan Jabatan Perdana Menteri.
“Sememangnya dalam masyarakat kita terutama pejuang bahasa, sementara mereka (pejuang bahasa) melihat insiatif ini baik, mereka juga tampil membuat teguran secara sopan, kalau boleh saya jenamakan semula dengan jenama Tabung Makanan.
“Tapi oleh kerana sekarang sudah register Yayasan Food Bank dengan Jabatan Perdana Menteri, maka proses itu akan makan sedikit masa…buat masa sekarang kita kekal dengan jenama Food Bank, yang penting ialah bagi orang makan,” katanya.
Selain itu secara peribadinya beliau turut berbangga apabila diberi peluang untuk membentangkan sendiri idea dan kertas kerja mengenai ‘Supply Chain Analysis’ dalam mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kami yakin analisis rantaian bekalan penting bagi membantu kementerian fahami berapa lapis rantaian terlibat sebelum harga akhir sampai kepada pengguna dan elemen apa menyebabkan kenaikan harga barangan,” katanya.
Beliau berkata laporan penuh analisis itu telah dibentang kepada jemaah menteri semalam.
Ketika diminta memperincikan tiga perkara yang masih belum terlaksana, Saifuddin berkata satu daripadanya ialah tekadnya membantu rakyat dalam menurunkan kos sara hidup dengan cara memperkembangkan e-dagang.
“Pilihan yang kita ada ialah kembangkan e-dagang kerana ia boleh kurangkan layer dalam perniagaan, …bila rantaian menjadi kurang harga akhir akan lebih disenangi semua pihak,” katanya.
Perkara lain kata beliau ialah dari aspek pendidikan pengguna yang belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh, fokus untuk mendekati segmen pengguna dan membantu kerajaan memastikan kecekapan pelaksanaan skim subsidi.- BERNAMA