SPR

KUALA LUMPUR-Para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan diingatkan untuk membawa kad pengundi atau membuat semakan awal maklumat pengundian selain kad pengenalan.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, kad pengundi, kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian perlu ditunjukkan kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Ini bagi memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi dan membantu kelancaran proses pengundian.

Para pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian mereka lebih awal sebelum hari pengundian.

“Pengundi terbabit boleh membuat semakan melalui saluran-saluran berikut:

  1. a) layari portal SPR di www.spr.gov.my; atau
  2. b) telefon ke talian 03-88927018; atau
  3. c) menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak; atau
  4. d) SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO.KAD PENGENALAN)

 

Bagi pengundi yang telah menerima voter’s card atau telah mengetahui maklumat pengundian, mereka tidak lagi perlu membuat semakan di barung semakan SPR sebaliknya boleh terus ke saluran mengundi.

Manakala bagi pengundi yang baru membuat semakan, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat berikut:

  1. a) pusat mengundi
  2. b) saluran mengundi
  3. c) nombor bilangan pemilih.-MalaysiaGazette