Datuk Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – NGO Gabungan Gerak Padu Kebangsaan (GerakPadu) menyifatkan tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyahkan Malaysia daripada senarai penandatangan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai kemenangan kedua kepada rakyat.

Pengerusinya, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan, ia juga satu kemenangan untuk menghalang Kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada mempergunakan perjanjian antarabangsa untuk menghapuskan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

“Rakyat Malaysia sedia maklum perlunya memantau pentadbiran PH kerana kerajaan ini didominasi oleh DAP yang memperjuangkan slogan Malaysian Malaysia.

“Kebanyakkan dasar kerajaan mahukan kesamarataan, mahu menghapuskan hak istimewa Bumiputera, mahukan agama Islam disamaratakan dengan agama lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, PBB dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Malaysia telah dinyahsenarai sebagai penandatangan ratifikasi Statut Rom ICC.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat berdasarkan notis awal daripada Kementerian Luar Negeri.

Pemberitahuan yang diterima daripada Menteri Luar Negeri seperti berikut:

“…Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk menarik balik Instrument Of Instruction daripada Statut Rom ICC pada 5 April 2019.

“Oleh itu, Malaysia membatalkan semula surat penyertaannya dan penarikan ini akan berkuatkuasa serta merta.

Mohd Razlan juga menegaskan, tindakan Kerajaan PH yang melengah-lengahkan urusan rasmi penarikan perjanjian antarabangsa itu telah menimbulkan kemarahan rakyat hingga puluhan ribu rakyat turun ke jalanan membantanya sebelum ini.

“Perhimpunan 405 telah berjaya mengumpulkan 10,000 peserta untuk membantah beberapa perkara, termasuk Statut Rom.

“Ia telah membuka mata kerajaan bahawa jangan melengah-lengahkan urusan rasmi penarikan dan jangan lagi melakukan cubaan untuk meratifikasi Statut Rom.

“Syabas kepada rakyat Malaysia yang menyumbang kepada kebangkitan ini, sekecil-kecil peranan anda apabila ‘Like’ ‘Share’ dan ‘Forward’ artikel berkenaan Statut Rom, besar maknanya kepada kami.

“Hari ini, secara rasminya kita telah menerima perkhabaran penarikan diri Malaysia secara sah dari Statut Rom. Tahniah rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan terus memantau Kerajaan PH daripada melakukan sebarang tindakan yang merugikan umat Islam dan orang Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan.

“Kami akan terus memantau kerajaan hari ini demi untuk menjaga kesucian Perlembagaan yang telah dipersetujui sekian lama.

“Mana-mana cubaan untuk memusnahkan nilai murni Perlembagaan ini akan mengundang perpecahan perpaduan antara bangsa dan agama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette