Marsyila Zakaria bersama 6 orang anaknya bergambar selepas ditemubual mengenai kesempitan hidup mereka menjelang sambutan Aidilfitri di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Hari-hari yang dilalui Marsyila Zakaria bersama tujuh anaknya sepanjang Ramadan ini tiada beza dengan hari yang lain sejak hampir setahun lalu.

Bagi wanita berusia 35 tahun itu, dia dan anak-anak tiada lagi perasaan teruja untuk menyambut bulan mulia ini apatah lagi Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Sejak suami ditahan di Pusat Pemulihan pada Ogos tahun lalu selama dua tahun, mereka pernah berkongsi nasi berlaukkan garam selama tiga hari kerana tiada wang membeli makanan.

Namun kerana tidak sanggup lagi melihat nasib anak-anak, Marsyila menebal muka mengetuk pintu rumah jiran untuk meminta telur yang digorengnya hancur-hancur bagi menukar selera mereka.

Bagi dirinya, biar seorang ibu tidak makan namun jangan sampai anak-anak kebuluran.

MGF16052019_TEMBUAL IBU 6 ORANG ANAK KESEMPITAN HIDUP13
Marsyila Zakaria tidak dapat menahan kesedihan semasa bercakap mengenai kesempitan hidup mereka menjelang sambutan Aidilfitri di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MEI 2019

Marsyila memberitahu dia hanya bekerja mencuci pakaian di rumahnya yang dihantar orang ramai dengan bayaran RM5 sebakul. Katanya baju itu dicuci menggunakan tangan dan sabun basuh sendiri.

Sekiranya tidak menerima baju hari tersebut, dia akan keluar dengan berjalan kaki sejauh 1 kilometer untuk mencari rumah-rumah yang ingin dibersihkan.

Jelasnya, bayaran yang dikenakan hanya RM30 untuk membersih rumah dan pakaian sekali.

Tambahnya sayu, sekiranya masih tiada lagi rezeki untuk hari itu, dia akan mencari restoran untuk meminta kerja mencuci pinggan dengan bayaran RM10.

Sepanjang dia keluar mencari kerja, anak-anak yang masih kecil akan dijaga abang mereka yang berusia 13 tahun dan kini sudah dua bulan tidak pergi ke sekolah.

MGF16052019_TEMBUAL IBU 6 ORANG ANAK KESEMPITAN HIDUP10
Anak kepada Marsyila Zakaria, Fallah Islahuddin Shah bercakap mengenai kesempitan hidup mereka menjelang sambutan Aidilfitri di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MEI 2019

“Saya bukan jenis meminta dan saya bersyukur kerana kadang-kadang ada jiran yang hulur bantuan.

“Saya akan mencari kerja dahulu dengan kudrat yang ada namun pernah sampai satu ketika memang kami terputus bekalan makanan.

“Saya beri anak-anak makan nasi berlaukkan garam selama tiga hari dan pernah jadikan garam sebagai sup sehingga saya tidak sanggup lagi dan pergi ketuk rumah jiran untuk minta telur yang goreng hancur-hancur untuk digaul dengan nasi dan sedikit garam untuk ubah selera mereka,” katanya sambil mengalir air mata.

Marsyila yang ditemui MalaysiaGazette di PPR Tun Razak Bandar Tasik Selatan di sini hari ini, mempunyai anak berusia antara setahun hingga 15 tahun.

Anak sulungnya tinggal di Asrama Asnaf Darul Takwa Sungai Besi di sini.

Kisah wanita itu menggambarkan antara keperitan hidup masyarakat di ibu kota yang tidak menyangka akan berdepan ujian getir kerana sebelum ini suaminya yang menyara keluarga dengan membuat kerja-kerja pendawaian elektrik dengan pendapatan mencecah RM2,000.

MGF16052019_TEMBUAL IBU 6 ORANG ANAK KESEMPITAN HIDUP01
Marsyila Zakaria

Tujuh beranak itu tinggal di situ sejak 10 tahun lalu dengan sewa dibayar oleh Baitumal sebanyak RM124 sebulan.

Ini kerana, anak ketiga dan keempatnya dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

Tetapi anak ketiganya meninggal dunia enam tahun lalu.

Keluarga ini turut mendapat bantuan barangan asas daripada Baitumal bernilai RM300 seperti beras, susu pekat, minyak dan tepung, selain bantuan ubatan untuk anak OKU sebanyak RM350 daripada Jabatan Jabatan Kebajikan Malaysia.

Marsyila berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menyediakan makan dan minum yang sedap dan mewah, namun cukuplah untuk mengisi perut anak-anak.

Katanya, makanan seperti ayam sudah lama tidak dibeli kerana harganya yang mahal kecuali pemberian jiran-jiran.

“Alhamdulillah, anak-anak saya jenis faham dan tidak meminta makan yang sedap. Pernah susu anak habis, saya bancuh susu pekat untuk diberikan kepada meraka.

MGF16052019_TEMBUAL IBU 6 ORANG ANAK KESEMPITAN HIDUP15
Marsyila Zakaria tidak dapat menahan disamping anaknya selepas bercakap mengenai kesempitan hidup mereka menjelang sambutan Aidilfitri di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MEI 2019

“Sebenarnya, kos perbelanjaan saya mencecah RM1,500 sebulan kerana lima anak masih minum susu dan memakai lampin pakai buang serta kos anak OKU yang tinggi.

“Dia tidak boleh lapar dan jika tidak, dia akan mengamuk,” katanya sayu.

Marsyila turut berkongsi kisah sedih tiga hari sebelum Ramadan lalu apabila pengsan ketika keluar mencari rezeki untuk anak-anak.

Ketika itu, katanya dia keluar agak lewat pukul 9 malam kerana sudah seharian mencari rumah untuk dibersihkan namun pulang hampa.

“Lepas anak-anak diberi makan, saya keluar lagi pada waktu malam. Namun dalam perjalanan saya pengsan dan hanya sedar sudah berada di hospital. Terus saya lari keluar kerana ingatkan anak-anak di rumah.

MGF16052019_TEMBUAL IBU 6 ORANG ANAK KESEMPITAN HIDUP05
Sebahagian Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Muhibbah Mesra Rakyat Kuala Lumpur
(PERKEMM) menyampaikan sumbangan pakaian kepada Marsyila Zakaria serta 6 orang anaknya selepas ditemubual mengenai kesempitan hidup mereka menjelang sambutan Aidilfitri di PPR Desa Tun Razak Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MEI 2019

“Sampai di rumah, anak-anak menangis bila nampak saya, terutamanya yang bongsu kerana akan menyusu badan sebelum tidur malam,” katanya yang mengalami tekanan darah rendah ketika itu.

Marsyila terharu meskipun hidup dalam serba kekurangan dan kepayahan, masih ada orang yang bersimpati dengan dia dan anak-anaknya.

Menurut beliau, kelengkapan di rumahnya seperti sofa dan televisyen terpakai adalah pemberian orang ramai.

Sementara itu, atas dasar simpati, Pertubuhan Kebajikan Muhibbah Mesra Rakyat Kuala Lumpr dan Pertubuhan Kebajikan pembangunan Insahniah Muafakat Penduduk telah hadir melawat Marsyila dan anak-anak serta memberi bantuan pakaian.

Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga ini, boleh menghubungi talian 011-60684586 atau menghulur wang di nombor akaun Bank Islam – 14256020003529 atas nama Marsyila Zakaria. – MalaysiaGazette