Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan akan menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman sebanyak RM253 juta yang diberikan kepada National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp).

Perkara itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan selanjutnya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, berdasarkan Penyata Lengkap Pinjaman Kerajaan Persekutuan setakat 30 April 2019 daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia, baki pinjaman NFCorp yang belum selesai kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM253,618,455.03, termasuk faedah dan faedah lewat setakat 30 April 2019.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM110,840,854.28 merupakan jumlah bayaran yang tertunggak kepada Kerajaan Persekutuan setakat tarikh tersebut, iaitu tunggakan pokok pinjaman sebanyak RM81,987,629.65, faedah sebanyak RM22,967,131.55 dan faedah lewat sebanyak
RM5,886,093.08,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pada 4 September 2014, Notis Pengisytiharan Berlaku Keingkaran (Event of Default) selaras dengan klausa 14 Perjanjian Pinjaman di antara Kerajaan Persekutuan dan NFCorp telah dikemukakan kepada NFCorp.

Pada 9 Januari 2008, NFCorp telah mendapat kemudahan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM250,000,000 pada kadar faedah 2% dengan tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh tangguh (grace period) selama 3 tahun.

Pinjaman ini bersandarkan debentur yang ditandatangani bersama perjanjian pinjaman pada 6 Disember 2007.

Menurut Guan Eng, berdasarkan laporan usaha wajar (due diligence) syarikat perakaunan PwC, Ahli Lembaga Pengarah NFCorp bagi tempoh 6 Disember 2007 sehingga 31 Disember 2011 terdiri daripada Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya, Izran Salleh, Izmir Salleh, Izzana Salleh bersama wakil-wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, katanya, carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)  pada 17 Mei 2019 merekodkan Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail sebagai satu-satunya Ahli Lembaga Pengarah NFCorp bersama 2 orang Setiausaha Syarikat.