Dr. Mohamad Salleh Ismail
Dr. Mohamad Salleh Ismail

KUALA LUMPUR – Sejak 25 Oktober lalu, National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) sudah mempunyai pembeli baharu yang bersedia dan bersetuju membayar balik baki pinjaman kepada kerajaan, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail.

Beliau menjelaskan, bayaran itu akan dibuat sepenuhnya oleh NFCorp dalam masa tiga bulan dari persetujuan pihak kerajaan untuk penstrukturan semula syarikat itu.

“Kita masih menunggu persetujuan dari kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Di Putrajaya semalam, Lim Guan Eng melaporkan NFCorp masih mempunyai baki pinjaman sebanyak RM256.3 juta yang belum diselesaikan kepada kerajaan Persektuan Pakatan Harapan (PH) termasuk faedah dan faedah lewat sehingga 30 April tahun ini.

Kata Menteri Kewangan, jumlah itu diperoleh berdasarkan Penyata Lengkap Pinjaman Kerajaan Persekutuan sehingga tarikh tersebut dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Jelasnya, daripada jumlah itu, RM110.8 juta adalah bayaran yang tertunggak kepada kerajaan Persekutuan sehingga tarikh itu dengan tunggakan pokok pinjaman RM81.9 juta, faedah RM22.9cjuta dan faedah lewat RM5.9 juta.

Menurut Dr. Mohamad Salleh, pembeli baharu NFCorp sudahpun bersetuju untuk mengangkat penuh tanggungan liabiliti pinjaman asal syarikat dan bersedia membuat pembayaran penuh “Full Redemption” terhadap jumlah baki pinjaman sebenar daripada kerajaan.

Hasrat itu, katanya, telahpun dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui surat bertarikh 21 November 2018.

Pihak pembeli baharu juga telah memaklumkan kepada kerajaan kesanggupan dan keyakinan mereka untuk memulih dan menstrukturkan semula NFCorp, termasuk pembayaran penuh baki pinjaman dengan kerajaan.

Pihak pembeli baharu dan kerajaan juga, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telahpun berbincang dan mengatur perancangan untuk pemulihan semula projek itu demi mencapai matlamat Keselamatan Makanan Negara, terutama dalam isu pengeluaran makanan yang terjamin halal.

“Saya percaya kenyataan Guan Eng ini susulan daripada surat bertarikh 17 Mei 2019 yang dihantar oleh pihak pembeli baharu kepada Kementerian Kewangan untuk membayar balik pembayaran penuh “Full Redemption”.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Dr. Mahathir, isu ini akan diselesaikan secara terbaik di mana NFCorp akan membayar balik baki tertunggak pinjaman kepada kerajaan.

“Manakala projek yang penuh dengan potensi ini akan dibangunkan semula oleh kerajaan dan pihak pembeli baharu syarikat NFCorp,” katanya. – MalaysiaGazette