Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan. foto HAZROL ZAINAL, 29 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) merancang untuk memberi lebih tumpuan kepada perniagaan hiliran kerana harga minyak sawit mentah (MSM) ketika ini dalam trend menurun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, syarikat tersebut merancang untuk melancarkan empat jenis produk bermula suku kedua tahun ini.

Empat produk tersebut katanya adalah minyak campuran untuk pasaran massa, marjerin industri, minyak campuran premium dan produk campuran kelapa.

“Perniagaan MSM perlahan disebabkan harganya jatuh ketika ini.

“Maka sebagai pemain industri kami perlu memberi fokus kepada perniagaan hiliran untuk menjana keuntungan.

“Tambahan pula, jangka hayat produk hiliran seperti minyak masak adalah lebih lama,” katanya semasa sidang media mengumumkan prestasi kewangan FGV suku pertama 2019 di sini hari ini.

FGV merekodkan kerugian bersih sebanyak RM3.37 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding keuntungan bersih RM1.12 juta setahun lalu.

Prestasi rendah itu disebabkan oleh kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga purata sektor gula lebih rendah.

Dalam pada itu, Haris Fadzilah menjangkakan pasaran MSM masih mencabar.

Beliau mengunjurkan harga MSM berada dalam jajaran RM1,900 hingga RM2,200 setan pada suku kedua tahun ini.

“Tinjauan masa hadapan masih lagi mencabar. Situasi masih sukar diduga.

“Kami optimis tetapi masih berhati-hati dengan perkembangan semasa,” katanya lagi.- MalaysiaGazette