Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

UALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah atas kematian bekas Presiden Mesir, Dr. Mohamed Morsi, semalam.

Katanya, beliau menerima perkhabaran sedih itu dan berdukacita dengan kematian Dr. Mohamed Morsi selepas menghadiri perbicaraan mahkamah di Kaherah.

“Kami menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada ahli keluarga Dr. Mohamed Morsi serta saudara seperjuangan Ikhwanul Muslimin dan seluruh rakyat Mesir.

“Sesungguhnya dunia Islam kehilangan seorang pejuang yang akan dikenang di atas keberanian dan kesabaran menghadapi tekanan demi memperjuangkan keadilan untuk Mesir dan rakyatnya, serta perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, media melaporkan bekas Presiden Mesir itu meninggal di hospital di Kaherah, selepas pengsan ketika sesi perbicaraan di mahkamah pada Isnin.

Beliau bercakap rancak di hadapan hakim selama 20 dan tiba-tiba rebah lalu dikejarkan ke hospital.

Beliau kemudian disahkan meninggal dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi menggesa pihak berkuasa Mesir dan agensi antarabangsa untuk melakukan siasatan bebas dan menyeluruh terhadap punca kematian, termasuk penjagaan Allahyarham ketika di bawah pengasingan bersendirian selama ini.

“Kami turut menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk mendirikan solat jenazah ghaib dan semoga roh Dr. Mohamed Morsi ditempatkan di kalangan para syuhada dan hamba-Nya yang soleh,” katanya. – MalaysiaGazette