Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan 2019 di KPDNHEP, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 19 JUN 2019.

PUTRAJAYA – Pengeluar-pengeluar simen bersetuju untuk tidak menaikkan harga simen.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesah perkara itu berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dengan para peserta industri tersebut.

Isu kenaikan harga simen dibangkitkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA  yang memaklumkan telah menerima notis kenaikan bahan itu sebanyak 40 peratus pada 3 Jun lalu dan ia berkuatkuasa pada 15 Jun dan 1 Julai.

“Di akhir pertemuan tersebut, pemain industri bersetuju mereka tidak akan menaikkan harga simen dan mereka sendiri akan memaklumkan kepada pelanggan tentang perkara tersebut.

“Mereka (pemain industri) juga bersetuju di masa akan datang, mereka akan memaklumkan kepada kementerian jika berhasrat untuk menaikkan harga simen,” katanya pada sidang media di kementeriannya, hari ini.

Semalam, beberapa pihak industri simen telah dipanggil untuk memberi peluang kepada mereka memberi penjelasan berkenaan keperluan menaikkan harga.

Saifuddin berkata pihaknya akan memastikan usaha mengekalkan harga bahan asas pembinaan itu dilaksanakan, selain menjaga kepentingan semua pihak. – MalaysiaGazette