Nadzim Johan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyatakan bantahan terhadap pihak berkuasa ekoran insiden pencemaran gas yang melanda di Pasir Gudang semalam.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya amat kesal dengan kejadian kali ini kerana ia menunjukkan kerajaan tidak ambil serius kejadian sebelum ini.

“Bantahan kami terhadap pihak berwajib negeri dan persekutuan kerana dianggap gagal dalam menjaga keselamatan pengguna khususnya penduduk Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain bantahan terhadap pihak berkuasa, PPIM turut mendesak kerajaan negeri dan pusat memberi penjelasan bagaimana perkara pencemaran udara itu boleh berulang.

“Sampai bila penduduk harus hidup dalam keadaan begini, apa yang telah dilakukan oleh pihak berwajib dan bagaimana ia boleh berulang?” tegas beliau.

Nadzim turut menegaskan semua pihak berwajib bertanggungjawab atas apa yang berlaku kali ini.

“Jika dahulu mereka menyalahkan kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab, kali ini di mana mereka, mengapa tiada pemantauan berkala, dan adakah mereka hanya menjadi bahan ketawa oleh pelaku-pelaku ini sehingga pencemaran berlaku di kawasan yang sama,” katanya.

PPIM turut menegaskan pihak berkuasa perlu mengadakan lebih pemantauan berkala bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Sejak kejadian pertama pada bulan Mac tahun ini, PPIM masih mendapat aduan terdapat mangsa yang masih mengalami komplikasi perubatan dan kini dengan kejadian kembali berulang, kami amat bimbang dengan tahap keselamatan penduduk disana,” katanya.

Selain risiko masalah kesihatan jangka pendek, kejadian pencemaran gas beracun itu juga dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup penduduk dalam jangka masa panjang.

Kejadian yang merupakan kali kedua tahun ini dan melibatkan 15 pelajar sekolah termasuk lima yang dikejarkan ke hospital.

Mereka merupakan pelajar Sekolah Agama Taman Mawar, kira-kira tujuh kilometer dari Sungai Kim Kim yang dicemari toksik Mac lalu.

Pelajar yang terlibat dilaporkan mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital petang semalam, dipercayai akibat pencemaran udara.

Sungai Kim Kim yang dicemari toksik pada 7 Mac lalu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, dekat sini, diarahkan ditutup sementara.

Sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai berkenaan juga terpaksa dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan. – MalaysiaGazette