Seorang anggota Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) berehat selepas melakukan kerja-kerja pemeriksaan kualiti udara berikutan pencemaran udara yang berlaku akibat pembuangan sisa bahan kimia ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Isu pencemaran yang berulang di Johor membuktikan wujud kelemahan dalam pengurusan bencana itu sebelum ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Mohd Mazri Yahya berkata,  apa yang berlaku di Sungai Kim Kim selepas tempoh tiga bulan bukan suatu kebetulan, sebaliknya pemantauan yang tidak dioptimumkan.

Disebabkan itu, persepsi umum terhadap badan berkaitan pengurusan alam sekitar kini semakin goyah.

“Malangnya selang tiga bulan kemudian, negara sekali lagi dikejutkan dengan peristiwa yang hampir sama dengan tragedi Sungai Kim Kim 1 itu.

“Simptom Tragedi Sungai Kim Kim 2 ini hampir sama dengan apa yang berlaku ketika Tragedi Sungai Kim Kim 1. Sehingga kini, semua sekolah dan institusi pengajian di Pasir Gudang diarah tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

“Apatah lagi bila ianya berlaku di tempat yang sama, di negeri yang sama dengan punca yang berbeza. Ia hanya menggambarkan kelemahan dari sudut penguatkuasaan dan pemantauan badan-badan alam sekitar terlibat, sama ada oleh kerajaan negeri ataupun kerajaan pusat.

Menyifatkan kejadian ini sebagai bukan suatu kebetulan, beliau mahu pihak berkuasa wajar memandang serius terhadap usaha pemantauan.

“Tragedi Sungai Kim Kim 1 dan 2 bukanlah satu kebetulan tetapi ianya adalah satu kelemahan. Maka berapa banyak lagi tragedi Sungai Kim Kim akan berlaku selepas ini?,” soal beliau.

Semalam, kerajaan negeri Johor mengarahkan 17 buah sekolah, 69 tadika serta sebuah institusi pengajian tinggi yang melibatkan 20,108 pelajar ditutup empat hari susulan 15 murid dan dua orang dewasa muntah-muntah dan mengalami sakit tekak akibat pencemaran udara.

Keadaan bertambah buruk apabila sebanyak 475 buah sekolah, institut pengajian tinggi dan tadika di daerah tersebut terjejas dan diarahkan tutup akibat pencemaran udara yang merebak ke sekolah-sekolah berhampiran.- MalaysiaGazette