Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR- Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menyifatkan dua insiden pencemaran kimia di Pasir Gudang sebagai ‘hina dan sangat memalukan’.

Baginda mengarahkan pemimpin-pemimpin kerajaan pusat dan negeri untuk menyelesaikan isu tersebut.

Titah baginda, kejadian terbaharu yang berlaku awal minggu ini menunjukkan kelemahan dan ketidakcekapan sistem pengurusan bencana di peringkat negeri dan persekutuan.

“Kita telah diberi jaminan bahawa semuanya dalam keadaan baki dan kita dengan ahli-ahli politik serta pegawai-pegawai kerajaan memberi jaminan mereka tetapi tidak sampai tiga bulan kemudian, rakyat di Johor menghadapi isu yang sama semula.

“Ini amatlah hina dan memalukan,” titahnya dalam satu temubual eksklusif dengan The Star.

Tambah Sultan Ibrahim, baginda hanya dijanjikan dengan janji kosong bahawa insiden sedemikian tidak akan berulang lagi.

Baginda yang jelas murka dengan insiden tersebut memberitahu, sukar untuk menerima dua kejadian pencemaran kimia berlaku di tempat yang sama meskipun dari sumber yang berbeza dalam tempoh kurang tiga bulan.

“Beta baca kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM6.4 juta untuk membersihkan Sungai Kim Kim daripada sisa toksik pada Mac lalu.

“Kemudian, seorang menteri mengeluarkan dua kenyataan berbeza yang pada mulanya mengesahkan kejadian terbaharu itu mempunyai kaitan dengan Sungai Kim Kim tetapi membuat kenyataan menafikannya tidak lama selepas itu.

“Kenyataan-kenyataan ini sangat mengelirukan dan bertentangan pada pendapat beta kerana mereka sepatutnya bercakap sesuatu yang sahih mengenai perkara penting seperti ini,” titahnya lagi.

Menurut Sultan Ibrahim, baginda akan mencadangkan kerajaan Johor untuk ‘menghapuskan atau memindahkan’ industri-industri yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar di negeri tersebut kerana ianya bukan sahaja membahayakan rakyat Johor malah turut melibatkan rakyar Singapura.

Tambahnya, pengilang plastik dibenarkan beroperasi di Johor sedangkan negeri-negeri lain tidak mahukannya.

“Beta tidak kisah mengenai nilai ekonomi industri-industri toksik ini. Apa yang beta bimbangkan adalah kesihatan rakyat Johor. Itu lebih penting daripada duit.

“Beta tidak mahu ahli-ahli politik sama ada dari negeri atau persekutuan memberitahu beta mengenai impak ekonomi. Berhentilah!” katanya lagi.

Sultan Ibrahim turut menasihatkan ahli-ahli politik di peringkat negeri dan persekutuan untuk fokus kepada berkhidmat untuk rakyat dan bukannya berpoliti sepanjang masa sehingga menjejaskan rakyat Johor.- MalaysiaGazette