Riza Shahriz Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dihadap ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan memperoleh wang berjumlah USD248.173 juta atau RM1.026 bilion lapan tahun lalu.

Wang itu dipercayai merupakan hasil aktiviti wang haram melibatkan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Penerbit filem Wolf Of The Wall Street itu didakwa memperoleh wang tersebut dua lokasi berbeza di Amerika Syarikat dan Singapura pada tahun 2011 dan 2012.

Riza, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas ke semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Anak kandung kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM1 juta serta dua penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Riza menerima jaminan itu bagaimanapun memohon mahkamah memberi peluang membayar baki jaminan sebanyak RM500,000 pada Isnin atau Selasa depan.

MGF050719_RIZA AZIZ MAHKAMAH05
Anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz (kiri) hadir di mahkamah untuk didakwa dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 JULAI 2019

Hakim Rozina bagaimanapun meminta alasan konkrit yang perlu dikemukakan selain berkata, bank dibuka hari ini sehingga 4.30 petang dan waktu masih awal lagi.

Kumaraendran memberitahu hari ini adalah Jumaat dan waktu agak pendek untuk berurusan memandangkan solat Jumaat.

Rozina menjawab beliau akan merekodkan permohonan itu namun pihak peguambela perlu menyelesaikan semua wang jaminan itu hari ini.

Sementara itu, kes Riza yang akan disebut semula pada 9 Ogos ini turut dihadiri dua adik tirinya, Nooryana Najwa dan Norashman – MalaysiaGazette