Umur belia kini ditetapkan 15 hingga 30 tahun. - foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pusat akan meneliti sama ada dakwaan wujud campur tangan Istana Johor dalam isu penetapan umur belia di negeri itu benar-benar berlaku atau sebaliknya, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada media di lobi Parlimen hari ini, beliau berkata, alasan yang dikemukakan oleh pentadbiran negeri selatan tanah air itu berhubung keputusan mereka mengubah pendirian berhubung isu tersebut juga akan diperhalusi.

“Sebab itu mereka (exco negeri Johor) membuat kenyataan (ubah had umur belia),” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri (KDN) Muhyiddin Yassin berkata pihak Istana dialu-alukan memberikan pandangan kepada pentadbiran negeri dan Pusat.

Bagaimanapun, kata Muhyiddin, Istana tidak sepatutnya melebihi batas sehingga sampai ke satu tahap yang disifatkannya sebagai mencampuri urusan pentadbiran negara.

Apabila ditanya, apakah tindakan selanjutnya yang akan dibuat jika didapati campur tangan itu benar-benar berlaku, Mahathir berkata, kerajaan akan memutuskan sama ada ia merupakan sesuatu yang boleh diterima ataupun tidak.

“Kita akan kaji,” katanya.

Johor memutuskan untuk mengekalkan semula had umur belia di negeri itu kepada 40 tahun selepas pindaan yang dicadangkan kerajaan iaitu umur belia dari 15 hingga 30 tahun diluluskan.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yang menegaskan bahawa pendirian negeri itu dibuat atas nasihat “beberapa pihak”.

Pada 3 Julai, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan), yang antaranya mengubah had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Usul yang dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu dibahaskan oleh 17 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.