KUALA LUMPUR – Seminggu selepas beberapa perhimpunan mendesak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan kerana dikaitkan dengan video seks songsang tidak mendapat perhatian pihak – hari ini Pertubuhan Biru Bersatu Abata Malaysia (Ber’1′ Abata) pula membuat desakan sama.

Timbalan Pengerusinya, Zahlan Ridzuan berkata, kali ini pihaknya membuat sedikit kelainan dengan membawa bekalan kondom jenama terkenal untuk diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata, alat keselamatan seks itu bukan untuk memalukan mana-mana pihak sebaliknya sebagai simbolik agar Kerajaan Pakatan Harapan tidak menyimpan pemimpin yang mengamalkan seks sejenis.

“Kita datang bukan dengan kebencian tapi dengan penuh kasih sayang dan kesedaran. Kita bukan nak memalu dan mengaibkan sesiapa.

“Kita bagi benda ini (kondom) dengan niat supaya jangan sebarkan penyakit-penyakit yang dilaknat dan merosakkan umat seperti HIV dan siplis,” katanya pada sidang media di luar pekarangan bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu Zahlan bersama 20 ahli NGO berhimpun di Jalan Parlimen sambil memegang plakad serta kain rentang bagi membantah pemimpin PH yang mengamalkan seks sumbang.

Antara mesej yang tertera di dalam kain rentang itu ialah ‘Datuk Seri Azmin Ali, Jangan Lupa Pastikan Pasangan Anda Menggunakan Kondom Semasa Melakukan Hubungan Seks Sejenis Supaya Selamat Daripada HIV’.

Selasa lalu, Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Lokman Noor Adam mahu menghantar beberapa klip video dan gambar seks di luar tabii mirip seorang menteri Kabinet dianalisis sebuah syarikat forensik video di Indonesia, hari ini.

Lokman berkata, keputusan analisis berkenaan boleh diketahui dalam tempoh dua hingga tiga hari dan bukannya lebih sebulan sebagaimana yang sedang dijalankan oleh pihak polis.

Zahlan juga mendakwa, pemimpin bergelar menteri itu seolah-olah dilindungi oleh pihak tertentu daripada dikenakan sebarang tindakan dan disiasat dengan sewajarnya.

“Kita highlight pasal kondom ini sebab kita tak nak penyakit berleluasa, kita bukan nak jatuhkan hukuman kepada Azmin Ali.

“(Seolah-olah) ada suatu kuasa di belakang, nampak ada tangan-tangan yang menafikan agar Azmin Ali disiasat secara betul,” katanya.

Katanya juga, beliau kesal dengan pihak berkuasa yang masih menjalankan siasatan terhadap video seks songsang itu tanpa sebarang hasil yang kini sudah memasuki tempoh lebih sebulan.

“Ada pakar dari Australia mengatakan video itu sahih, sampai Lokman Adam kena belanja lebih, kena pergi Indonesia untuk dapatkan sijil sebagai pengiktirafan video itu adalah sahih.

“Orang dalam industri filem pun tengok saja akui benar, Elly Suriati Iskandar sendiri mengatakan ia video sebenar, bukan disunting,” katanya.

Sehubungan itu, Zahlan mencabar Mohamed Azmin mengheret Haziq Abdullah Abdul Aziz ke mahkamah selepas bekas Ketua AMK Cabang Santubong itu mengaku sebagai pelaku dalam video berkenaan.

“Walaupun kita telah berikan buktikan yang kukuh, mereka mempersoal dan menidakkan, Azmin Ali menafikan mengatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam skandal tersebut.

“Kita nak nasihatkan Azmin Ali jika benar kamu tidak melakukannya, sahutlah cabaran pihak di luar sama termasuk bawa Haziq ke mahkamah, janganlah kita guna undang-undang terpilih atau pendakwaan terpilih.

“Seharusnya YB saman Haziq, ini bukan soal pecat daripada parti, ini soal rakyat, kalau YB tidak ambil tindakan drastik di mahkamah.

“Kita tahu ada siasatan polis, tapi YB patut ambil tindakan terhadap Haziq di mahkamah untuk membuktikan YB tidak bersalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.