Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media sambil diiringi Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (kanan) ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menegaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya berbohong berhubung serangan terhadap hartawan, Robert Kuok.

“Saya hanya minta Najib jangan berbohong. Dia tahu itu, dia tahu apa yang saya bicarakan,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen hari ini.

Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu diminta mengulas mengenai komen Najib hari ini bahawa dirinya tidak pernah ‘menyerang’ Robert Kuok.

Malah kata Nazri, beliau hanya mengkritik Robert untuk mempertahankan bekas Perdana Menteri itu.

Semalam, Nazri berkata menegaskan bahawa kenyataannya mengkritik hartawan Cina itu bukan penyebab parti MCA kalah pada Pilihanraya Umum 14 (PRU 14) lalu.

Beliau menafikan kenyataan Najib yang membuat kenyataan bahawa kritikan melampau Nazri terhadap Robert menyebabkan undi masyarakat Cina merosot pada PRU-14. – MalaysiaGazette