KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bukan sahaja saling mengenali tetapi juga kawan rapat.

Menurut sumber, bukti kedua-dua mereka rapat kerana mereka pernah menjalankan perniagaan menjual kereta di Taman Tun Dr. Ismail satu masa dahulu.

“Mereka berdua pernah buka syarikat jual kereta atas nama Qaswa Auto Sdn Bhd. Farhash dengan Azmin pernah buat bisnes sekali,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Nama Farhash disebut-sebut selepas ditahan pihak berkuasa dalam siasatan penyebaran video seks melibatkan Haziq Abdul Aziz yang mengaitkan Mohamed Azmi baru-baru ini.

Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan video seks songsang  Haziq Aziz yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata beliau tidak tahu menahu mengenai penahanan Farhash yang disiasat berhubung siasatan kes video intim yang mengaitkan timbalannya itu.

Hari ini, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin juga menyatakan telah menanyakan kaitan Farhash kepada Anwar sendiri dalam isu yang sama.

Semalam, Anwar menggesa agar Mohamed  Azmin meletakan jawatan dalam kerajaan mahupun parti jika terbukti Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu terlibat dalam video seks.

Episod ‘perang’ kedua-dua pemimpin PKR itu bermula beberapa jam selepas itu apabila Azmin membidas presidennya dan memintanya untuk ‘cermin diri sendiri’.

“Baca bibir saya. Bagitahu dia, dia mesti tengok ‘siapa lelaki dalam cermin itu’,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada sebelah petang semalam.

Ekoran insiden itu, sekumpulan pimpinan tertinggi PKR menegur Anwar dan akhirnya Anwar hari ini membuat penjelasan dan akur dengan teguran itu demi penyatuan parti.

Bagaimanapun dalam masa yang sama menegaskan Mohamed Azmin tidak membaca keseluruhan kenyataannya semalam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.