KUALA LUMPUR – Selepas pembangkang mempersoalkan kredibiliti Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof tentang lantikan anak lelakinya, Mohamad Lutfi Hakim menjadi Setiausaha akhbar kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, semakan MalaysiaGazette mendapati namanya sudah digugurkan daripada senarai pegawai Ahli Parlimen Bagan itu.

Melalui semakan penulis pada jam 5.30 petang tadi, nama Mohamad Lutfi Hakim, yang memegang  jawatan setiausaha akhbar kini tidak lagi berada di dalam direktori Kementerian Kewangan (MOF).

Isu pelantikan Lutfi dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini selepas Mohamad Ariff tidak meluluskan usul membawa Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen semalam.

Mohamad Ariff bagaimanapun tidak menafikan anaknya bekerja dengan Guan Eng.

“Ianya bukanlah sesuatu yang saya sembunyikan. Anak saya berumur 31 atau 32 sekarang dan dia bebas untuk bekerja di mana-mana. Lebih penting, saya bertindak bebas dan tidak dipengaruhi di dewan ini,” katanya di Dewan Rakyat. -MalaysiaGazette