Bekas Ketua Cabang PKR Seputeh, Ganapathy Ponnusamy memegang sepanduk Asal Bukan Anwar Ibrahim (ABAI) di NU Sentral, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Cabang Seputeh, P Ganapathy yang dipecat semalam terus menyerang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa beliau tidak layak untuk menjadi perdana menteri.

Beliau yang mendakwa menjadi ahli PKR sejak 1998 turut berkata, Anwar gagal meredakan keretakan dalam parti dan menyebabkan parti kini terbelah kepada dua pasukan.

“Jika Datuk Seri Anwar tidak boleh menjaga partinya sendiri dengan baik, dan gagal memupuk semangat kesatuan ahli apatah lagi Malaysia jika beliau diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Saya merasakan beliau sebenarnya tidak lagi layak untuk menerajui PKR apatah lagi menjadi perdana menteri seperti yang dicanang yang oleh pihak-pihak pengampu beliau,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa Anwar mengamalkan dasar nepotisme dalam lantikan beberapa jawatan strategik parti.

Katanya, jawatan-jawatan itu diberikan kepada individu yang mempunyai pertalian persaudaraan atau persahabatan dengan Anwar.

Ketika ditanya samada beliau akan membuat rayuan mengenai pemecatannya, Ganapathy berkata beliau menegaskan tidak akan kembali kepada PKR sekiranya Anwar masih memegang jawatan Presiden.

“Saya tidak akan buat rayuan, kerana kalau rayuan saya itu diterima (parti), saya tidak lagi boleh terus mengkritik parti seperti sebelum ini juga kerana presidennya orang yang sama, disiplinnya orang yang sama dan orang-orang dibelakang Anwar juga orang yang sama.

“Saya rela tengok dan kritik parti dari luar sebagai rakyat Malaysia dan biar mereka nilai sendiri,” katanya lagi.

MGF19072019_PC GANAPATHY_09
Bekas Ketua Cabang PKR Seputeh, Ganapathy Ponnusamy

Malah beliau turut tidak berpuas hati dengan Anwar kerana tuntutan bantuan kewangan kepada parti juga tidak diendahkan.

“Bila saya minta wang saya sebanyak RM84,000 untuk beli komputer, barang keperluan untuk Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dan juga Pilihan Raya Negeri Sarawak.

“Sehingga kini tuntutan saya tidak dijawab. Jika alasan saya tidak kukuh, mengapa parti tidak menjawab surat saya dan berikan alasan mengapa tuntutan saya ditolak,” katanya lagi.

PKR semalam memecat keahlian Ganapathy yang didapati melanggar disiplin parti kerana beberapa kali menyebar dan memuat naik di dalam laman sosial berita tidak benar, memfitnah serta membuat sangkaan jahat kepada pemimpin-pemimpin parti.

Perkara itu disahkan Lembaga Disiplin PKR dalam satu kenyataan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PKR pecat Ketua Cabang Seputeh serta-merta