Datuk Seri Najib Tun Razak. foto NOOREEZA HASHIM, 18 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Prosiding SRC International yang masuk hari ke-41 akan menyaksikan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan dalam isu permohonan maaf bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib didakwa telah menulis di laman sosial Facebook beliau tentang perbelanjaan kad kreditnya menyebabkan berlakunya sub judice.

Ini kerana Peguam Negara, Tommy Thomas merujuk kepada catatan Najib di laman Facebook mengenai keterangan saksi pendakwaan ke-47 pada 15 Julai bahawa sebanyak RM3.3 juta digunakan menerusi dua kad kredit milik Najib dalam tempoh sehari di De Grisogono, butik barang kemas mewah, di Itali pada 2014.

Bagaimanapun, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon masa ehingga hari ini bagi mengemukana hujah kerana pada pandangan beliau tindakan anak guamnya  tidak sub judice seperti yang didakwa.

Mohd Nazlan yang membenarkan hujah dikemukakan pada hari ini.

Namun beliau mengingatkan seandainya sebarang posting berhubung perbicaraan kes dilakukan akan dianggap sebagai menghina mahkamah.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Selain daripada itu, antara saksi yang sangat ‘dinantikan’ kemuculannya ialah bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu.

Beberapa wartawan melihat kelibat Joanna di kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta sebentar tadi.

Sebelum ini mahkamah diberitahu bahawa terdapat transkrip perbualan melalui telefon Blackberry antara Jonna dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Joanna merupakan pegawai yang mengendalikan akaun peribadi Najib di Ambank.

Menurut saksi sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling, ada perbualan antara Joanna dengan Jho Low.

SElain itu, saksi lain yang akan menrik tumpuan media ialah bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang mana namanya turut bermain di bibir beberapa orang saksi sebelum ini.

Ahmad Husni didakwa pernah menandatangani surat Jaminan Kerajaan bagi pinjaman pertama sebanyak RM2 bilion antara  SRC International dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pada tahun 2011.

Prosiding di jangka bermula jam 9.15 pagi ini. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/18/tidak-ada-lagi-posting-kes-perbicaraan-src-international-selepas-ini-hakim/