Gambar hiasan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini membuat laporan polis berhubung dua insiden pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kemungkinan wujudnya elemen sabotaj.

Pengerusi SPAN Charles Anthony Santiago berkata dua insiden dalam tempoh tiga hari adalah amat membimbangkan dan pihaknya bersimpati dengan penderitaan rakyat Selangor akibat penutupan empat loji rawatan berikutan pencemaran yang berlaku.

Menurutnya, pencemaran bau dalam insiden pertama pada Jumaat lepas telah menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang, diikuti insiden pencemaran diesel akibat aktiviti kerja-kerja pengorekan pasir di hulu sungai.

MGF21052019_IFTAR MEDIA BERSAMA SPAN69
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago.

“Keempat-empat LRA itu terpaksa dihenti tugas sekali lagi semalam ketika pemulihan bekalan air baru mencapai 97 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan polis dibuat oleh Pengarah Wilayah Tengah SPAN Ir Jalalluddin Sulaiman di Balai Polis Bestari Jaya, Kuala Selangor pada kira-kira 10 pagi hari ini.

— BERNAMA