KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyelar pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai tidak beretika kerana mendiamkan diri berhubung isu Lynas.

Menurut bekas perdana menteri itu, pemimpin PH yang kini mempunyai kedudukan dalam kerajaan perlu bertindak meletakkan jawatan kerana sikap membisu berbanding dahulu kuat mengkritik kilang memproses nadir bumi itu.

“Ini soal moral, sepatutnya mereka yang menentang Lynas hari ini samada letak jawatan ataupun minta maaf secara terbuka kepada rakyat.

“Soal itu kena selesai dahulu, jelas sekali bahawa mereka tidak ada etika. Sebab mereka cakap dulu sekarang sudah senyap,” kata Najib selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kemaman, hari ini.

Antara pemimpin PH yang aktif menolak Lynas ialah Lim Guan Eng ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dahulu.

Yang lain adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Anggota Parlimen Bentong, Wong Tack.

Najib yang turut ditanya samada akan menghadiri protes anjuran NGO Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) berkata, beliau belum membuat keputusan mengenainya.

“Saya tidak tahu lagi. Saya ada pendirian saya dan masih konsisten jadi saya tidak main isu kerana nak dapatkan sokongan dan populariti. Saya berpegang kepada prinsip,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, keputusan sama ada Lynas akan dibenarkan memperbaharui lesen operasinya di Malaysia akan diketahui pada 15 Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengumumkan keputusan sama ada bahan radioaktif daripada kilang Lynas di kawasan perindustrian Gebeng itu perlu dihantar ke negara asal atau sebaliknya. -MalaysiaGazette