Tan Teik Cheng
Tan Teik Cheng

KUALA LUMPUR – Kenyataan Lim Guan Eng yang merujuk bahawa DAP bukan kingmaker dalam Pakatan Harapan (PH) apabila parti itu gagal meyakinkan perdana menteri menutup operasi Lynas Malaysia Sdn. Bhd. bukanlah sesuatu yang dibanggakan.

Sebaliknya, MCA melihat kenyataan itu sebagai usaha Guan Eng untuk menyelamatkan diri, kata Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng.

“Adakah ini sesuatu yang patut dibanggakan? Ia hanya menyerlahkan lagi kelemahan DAP yang sebelum ini mendakwa dirinya juara rakyat dan pernah berjanji untuk menyemak dan mengimbang keputusan perdana menteri.

“Jika DAP, iaitu parti terbesar dalam PH yang mempunyai enam menteri dan 42 ahli parlimen masih tidak boleh menyakinkan Perdana Menteri untuk menutup Lynas sepertimana yang telah dijanjikan, maka apa gunanya DAP?,” soal Teik Cheng sambil turut menyifatkan alasan keluar negara oleh Menteri Perindustrian Utama, Teresa Kok menyebabkan beliau tidak dapat menyanggah keputusan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Teik Cheng mengingatkan Guan Eng sebelum ini terlibat menghasut rakyat supaya membantah Lynas sebelum ini.

Tetapi selepas menjadi kerajaan, beliau bukan sahaja gagal menunaikan janjinya, tetapi mengalih tanggungjawab kepada perdana menteri.

“Nampaknya DAP tidak ada suara dalam kerajaan baru ini,” katanya sinis. – MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/19/guan-eng-akui-dap-gagal-yakin-kan-tun-m-tutup-lynas/