Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Malaysia, Yb Dr. Xavier Jayakumar (kiri) melawat pameran pada Perasmian Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 23 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia kini berdepan cabaran apabila dituduh melebihkan keperluan untuk pembangunan berbanding keperluan hutan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, isu penebangan hutan bagi ladang kelapa sawit sentiasa menjadi bahan golongan pengkritik selama ini.

Namun tegas beliau, tuduhan yang mengaitkan minyak sawit hingga menyebabkan penebangan hutan itu adalah tidak berasas dan tidak adil.

“Tuntutan ini membawa impak negatif kepada Malaysia yang sangat bergantung kepada industri minyak sawit untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

“Ia juga memberi kesan buruk kepada penanam kelapa sawit yang merangkumi 650,000 pekebun kecil serta 1.5 juta orang lagi yang bekerja di rantaian bekalan minyak kelapa sawit.

“Sebenarnya industri kelapa sawit di Malaysia telah dibangunkan secara mampan dan bertanggungjawab. Kerajaan dalam mematuhi SDGs telah membuat langkah-langkah untuk memastikan industri ini tidak menyebabkan kemusnahan alam sekitar serta mengelakkan amalan yang tidak lestari seperti pemusnahan hutan dan habitat hidupan liar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada majlis pelancaran Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Mengulas lanjut, Mahathir memberitahu minyak sawit Malaysia kini memberi fokus untuk meningkatkan produktiviti dan hasil.

Jelasnya, ia bukannya untuk memperluas tanah bagi mengelakkan pembasmian hutan dan perubahan penggunaan tanah secara langsung atau tidak.

“Selaras itu, kerajaan telah menetapkan tanah yang boleh digunakan secara maksimum untuk penanaman kelapa sawit pada 6.55 juta hektar menjelang 2023.

“Lebih menggalakkan apabila negeri Sarawak telah meletakkan moratorium tanah negeri untuk ladang kelapa sawit yang tidak membenarkan penanaman kelapa sawit baharu di tanah negeri termasuk di tanah gambut.

“Malaysia bangga berkongsi sebahagian daripada amalan mampan kepada dunia dengan memperkenalkan Skim Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MSPO) pada tahun 2013 dan akan menjadi mandatori bermula 1 Januari 2020.

“Persijilan sepenuhnya ini jelas menangani kebimbangan global mengenai pengeluaran minyak kelapa sawit mampan termasuk kehilangan biodiversiti, gas rumah hijau (Pelepasan GHG) dan pemusnahan habitat hidupan liar,” katanya. – MalaysiaGazette