Ibrahim Ali

KUALALUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali meminta jasa baik kumpulan yang berhajat hendak mengusir pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik supaya tampil mendesak kerajaan India menghentikan isu Kahhmir yang dilihat sebagai titik tolak kepada ketegangan hubungan antara India dengan Pakistan.

Presiden Parti Bumiputera Malaysia (Putra) itu berkata, kemelut tersebut yang patut diambil berat oleh pemimpin dan masyarakat India negara ini, daripada membesarkan kes Dr. Zakir Naik yang tidak ada isu pun.

“Saya minta jasa baik parti politik India atau kumpulan yang nak halau Dr. Zakir dan menolak tulisan Jawi, termasuk Waythamoorthy, Ahli Parlimen India dari DAP, PKR dan Ramasamy di Pulau Pinang bersuara mendesak kerajaan India hentikan kekejaman terhadap Kashmir.

“Banyak kezaliman etnik berlaku di India, sewajarnya mereka yang bising di negara ini tolonglah juga bersuara dan berlaku adillah terhadap kemelut di India. Jangan kuman seberang jalan nampak, gajah depan mata tak nampak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra kali keempat di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru di sini, hari ini.

Pada sidang media itu juga, beliau melakukan pelantikan baru seorang anggota ADT Putra iaitu, Prof Emiretus Dr. Mohd Azmi Ahmad.

Mengulas lanjut agenda mesyuarat itu, Dr. Ibrahim memberitahu, pihaknya bersetuju untuk melancarkan parti Putra pada 28 September ini di padang Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Katanya, tema pelancaran parti itu ialah Putra Perkasa Negara dengan tagline #ingatmelayuingatputra.

“Sempena majlis ini, kita akan melancarkan Pemashyuran Tuntutan Melayu Pribumi sebagai agenda perjuangan parti Putra.

Pemasyhuran itu, katanya, akan menjadi dokumen kepada perjuangan Putra sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Setakat ini Putra telah berjaya menubuh 151 Bahagian di seluruh negara, dengan 111 permohonan sudah dihantar kepada Pejabat Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (ROS) manakala 40 Bahagian lagi dalam proses penghantaran ke jabatan itu.

“Dari segi pencapaian, kita amat gembira, teruja kerana kita tidak menghadapi banyak kerumitan kerana terdapat di kalangan mereka tampil ke hadapan menawar diri untuk menjadi pemimpin Putra peringkat akar umbi.

“Ini perkembangan positif dan selebihnya kita dapati yang mula menyertai Putra ini adalah anak muda dan mereka yang tidak berparti. Ini amat kita teruja,” katanya. – MalaysiaGazette