Wakil-wakil daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menghulurkan kit bantuan makanan kepada mangsa banjir di Johor, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) hari ini menghulurkan kit bantuan makanan kepada komuniti yang terjejas akibat bencana banjir  di negeri Johor.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, misi bantuan banjir tersebut merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat Bank Muamalat.

“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam, Bank Muamalat sentiasa prihatin dan proaktif untuk menghulurkan bantuan serta sumbangan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan membantu komuniti yang terjejas.

“Insiatif itu adalah selari dengan komitmen kami dalam membina ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ komuniti.

“Penganjuran tanggung jawab sosial korporat ini bagi membantu mangsa banjir ini juga sejajar dengan seruan kerajaan untuk menggalakkan sektor awam dan sektor swasta bekerjasama bagi meringankan beban kewangan dan emosi yang perlu dipikul oleh komuniti terjejas pasca bencana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bantuan banjir tersebut diserahkan oleh Pengurus Wilayah Selatan Bank Muamalat, Mohd Zamri Pardi kepada 100 keluarga yang ditempatkan di tiga Pusat Penempatan Sementara (PPS) sekitar Johor iaitu di PPS Dewan Raya Kampung Makam, PPS SK Laksamana, Kota Kecil dan PPS SK Tun Dr Syed Nasir. – MalaysiaGazette