Keadaan tangan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang tersekat pada paip PVC di Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Kegembiraan sebuah keluarga mandi di kolam renang sebuah resort di Pengkalan Balak di sini bertukar cemas apabila tangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun tiba-tiba ‘disedut’ paip penyedut pam air.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu mengakibatkan tangan kanan mangsa melecet selepas 34 minit menanggung kesakitan sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah.

Pegawai Bomba Kanan II Isharudin Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada pukul 5.15 petang sebelum mangsa terus dibawa datang ke balai berkenaan oleh ibu bapanya yang datang bercuti ke resort berkenaan dari Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan paip PVC sepanjang kira-kira satu meter itu. Selepas 34 minit, tangan mangsa berjaya dikeluarkan dan hanya mengalami kesan melecet sebelum dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Menurutnya, kejadian dikatakan berpunca apabila kanak-kanak berkenaan bertindak memasukkan tangannya ke dalam paip penyambung ke pam penyedut air di dalam kolam renang terbabit.

“Pam penyedut air yang berfungsi itu kemudian telah menyedut tangan mangsa menyebabkan ia tersekat sebelum dibantu pemilik resort yang memotong paip berkenaan,” katanya.- MalaysiaGazette