Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil melabel Kempen “Buy Muslim First” (BMF) ditaja oleh sebuah parti politik merupakan satu dakwaan berniat jahat dan menyimpang.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, Faiz telah mengeluarkan kenyataan yang sangat salah kerana kempen tersebut tidak pernah ditaja oleh mana-mana parti politik.

Ini kerana kempen tersebut digerakkan oleh usahawan-usahawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembeli-pembeli Muslim di akar umbi masyarakat.

“Jika mahu menegur komitmen mana-mana parti politik mengenai kempen BMF sebelum dan selepas menjadi kerajaan, tidak mengapa kerana memang kita perlu saling menasihati tatkala terleka. Malah, kita sangat alu-alukan.

“Tetapi untuk meletakkan label bahawa kempen ini ditaja oleh mana-mana parti politik, itu adalah satu dakwaan yang berniat jahat dan menyimpang,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Aminuddin berkata, sekretariat penganjur yang menggerakkan kempen berkenaan menggunakan duit poket masing-masing walaupun mereka tidaklah kaya raya tetapi berkat rezeki dari Allah, mereka dapat bergerak.

Tegasnya, sehingga hari ini, tidak ada satu sen pun dalam kalangan penggerak kempen tersebut mendapat peruntukan daripada sesiapa apatah lagi parti politik.

Tambah beliau, sekiranya kempen itu ditaja oleh parti politik, pasti kempen tersebut subur dan pesat membangun di negeri-negeri yang diperintah oleh parti berkenaan.

Malah, usahawan-usahawan Muslim di negeri-negeri terbabit pastinya sudah menjadi kaya-raya.

“Janganlah cuba mempolitikkan kempen ini. Apa faedah yang anda dapat dari cuba seret para usahawan dan peniaga yang tidak bersalah ke kancah pergaduhan politik kalian?

“Akhirnya yang rugi hanyalah peniaga-peniaga dan usahawan-usahawan Muslim yang baru sahaja hendak bertatih ini manakala politikus tetap kaya raya menikmati segala elaun.

“Sudahlah tidak mahu membantu malah hanya membuat kacau sahaja. Apakah mereka ini seronok menghalang usaha kebaikan, iaitu usaha membantu saudara Muslim yang lain. Apakah ini ‘rahmatan lil alamin’ yang diperjuangkan? soalnya.

Justeru, Aminuddin mengingatkan agar orang politik tidak mengheret rakyat dalam permainan “politikus” mereka bagi mengelak diri mereka dibenci akibat kerakusan yang dibuat sendiri.

“Kepada pejuang-pejuang kempen BMF sekalian, teruskan menyokong usahawan-usahawan Muslim kerana agenda memperkasakan ekonomi umat ini adalah perjalanan yang panjang.

“Usah pedulikan ‘nyamuk-nyamuk’ yang datang mengacau ini kerana mereka hanya tahu ‘menghisap darah’ sahaja,” tegasnya.

Semalam media melaporkan, Faiz dalam satu kenyataan mempersoal sikap PAS berhubung kempen BMF yang pernah dijuarai sebelum ini.

Faiz berkata, sikap membisu Pas dalam kempen itu selepas membentuk kerajaan membuktikan bahawa parti itu hanya mempolitikkan kempen tersebut.

Beliau mengakui kempen BMF itu jika tidak dipolitikkan, sebenarnya bertujuan baik untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu dan mempromosikan produk berkonsepkan Islam. – MalaysiaGazette

Kempen BMF Pas hilang bisa

4 Komen

  1. Usaha NGO yang bersusah payah, Parti politik pula yang dapat nama. NGO pun hendak kredit juga.

Comments are closed.