SPRM dalam proses meminta bantuan Jabatan Peguam Negara

PUTRAJAYA – Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad bukan saksi dalam kes siasatan pembelian dua hotel milik Felda Investment Corporation (FIC).

Sebaliknya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki mengesahkan Mohd. Isa adalah individu yang disiasat kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

“Apabila kami menangkap dan reman seseorang individu dan majistret yang mengeluarkan perintah reman ia bermakna individu itu disiasat.

“Dia (Mohd Isa) adalah individu yang disiasat.

“Sekiranya anda ditahan, anda adalah suspek. Saya hanya mahu menjelaskan mana-mana individu yang ditahan adalah disyaki,” katanya selepas majlis ikrar rasuah antara antara SPRM dan Kementerian Luar Negeri.

Beliau mengulas kenyataan peguam Mohd. Isa, Datuk K. Kumaraendran semalam yang mendakwa bekas Pengerusi Felda itu hanya dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan pembelian dua hotel – Grand Plaza Kensington Hotel di London dan Merdeka Palace Hotel and Suites di Kuching.

Mohd. Isa ditahan oleh SPRM pada Selasa lalu selepas menghadirkan diri untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.

Rentetan penahanan Mohd. Isa, SPRM juga menyerbu tiga kediaman yang dikaitkan dengan pengerusi sementara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat itu.

Dalam pada itu, Mohd. Azam berkata, SPRM sedang menyiapkan kertas siasatan pembelian dua hotel itu untuk dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya. – MalaysiaGazette