KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan Public Bank membayar ganti rugi sebanyak RM510,000 kepada National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan tiga lagi terhadap Public Bank Bhd. atas kebocoran-kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka pada 2012.

Ia termasuk ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dan kos sebanyak RM500,000.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk S Nantha Balan berkata, terdapat salah faham yang serius terhadap bukti yang memerlukan campur tangan rayuan.

“Hakim perbicaraan tidak mengendahkan bukti penting, khususnya, keterangan Veronica Foo di hadapan panel siasatan domestik dan pendirian bank terhadap pertuduhan salah laku serius terhadap (bekas kerani bank) Johari Mohamed,” katanya.

Keputusan itu turut dibuat bersama Hakim Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk P. Ravinthran.

Foo ialah ketua audit penyiasatan bank itu.

Dalam prosiding hari ini, perayu, NFCorp dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail serta dua anak syarikatnya iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd. diwakili peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah manakala peguam Poh Choo Hoe mewakili Public Bank selaku responden.

Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut selepas mendapati NFCorp, Mohamad Salleh dan dua lagi anak syarikatnya, gagal membuktikan kes itu terhadap Public Bank berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Dalam saman yang difailkan perayu terhadap bank itu pada 22 Mei 2012, mereka mendakwa reputasi dan kebolehpercayaan perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh bank itu.

Pada tarikh sama, NFCorp dan empat yang lain selaku plaintif memfailkan saman terhadap Public Bank kerana mendakwa maklumat sulit dan rahsia perbankan mereka telah disebarkan kepada umum oleh bank tersebut.

Dalam penyataan saman tersebut, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu.

Dakwa plaintif maklumat akaun bank mereka yang dibocorkan itu digunakan oleh Rafizi untuk menyokong dakwaan bahawa plaintif telah mempengaruhi pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lepas satu , satu kes fitnah terbongkar..mungkin ini juga sebagai makanan dan santapan ruji manusia di Malaysia yg suka bermain dgn fitnah.

Comments are closed.