Mawar Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Bangi hari ini membenarkan permohonan usahawan popular, Mawar Abdul Karim untuk mengenepikan penghakiman ingkar kehadiran pada 11 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Effandi Nazila Abdullah melalui platform e-review yang membenarkan permohonan Mawar itu dengan kos dalam kausa, kes berkaitan tindakan tuntutan saman sivil berjumlah RM720,000.

Barisan peguamnya dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu dan susulan perkembangan tersebut Mawar akan memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap pihak-pihak yang dinamakan dalam kes ini dalam masa 14 hari.

“Oleh itu, penghakiman ingkar kehadiran bertarikh 11 Januari 2022 dengan jumlah penghakiman sebanyak RM720,000 tersebut sudah tidak lagi berkuatkuasa dan tidak boleh dilaksanakan terhadap saudari Mawar.

“Oleh yang demikian, tidak ada sebarang tindakan pelaksanaan berasaskan kepada penghakiman ingkar kehadiran bertarikh 11 Januari 2022 tersebut yang boleh difailkan lagi terhadap saudari Mawar selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama peguamnya, hari ini.

Barisan peguam Mawar ialah Datuk Mohd Imran Tamrin, Muhammad Nor Tamrin dan Mohd Azali Ibrahim.

Pada 21 April lalu, media melaporkan Mawar hadir ke Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi bagi pendengaran notis permohonan mahkamah untuk menangguh pelaksanaan penghakiman berhubung kes berkaitan tindakan tuntutan saman sivil berjumlah RM720,000.

Imran yang mengetuai barisan peguam Mawar selaku defendan berkata, pihaknya akan membuat dua permohonan berhubung tuntutan saman oleh plaintif, Nabil Mat Jahya iaitu satu perintah mahkamah diberikan untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang telah diperolehi plaintif terhadap Mawar.

Selain itu, Mawar juga memohon pelaksanaan plaintif terhadap Mawar ditangguhkan sehingga mahkamah mendengar jawapan daripada defendan.

Terdahulu media melaporkan usahawan berusia 33 tahun itu berdepan tindakan mahkamah selepas didakwa gagal membayar wang pinjaman bernilai RM 720,000.

Pinjaman itu dibuat daripada seorang kenalannya bagi tujuan modal memulakan perniagaan. – MalaysiaGazette