Gambar hiasan

RAWALPINDI – Pengurusan Pakistan International Airlines (PIA) memutuskan untuk menggantung perkhidmatan 150 juruterbangnya.

Menteri Penerbangan, Ghulam Sarwar Khan mendedahkan di Dewan Perwakilan bahawa sebahagian besar juruterbang komersial memiliki ‘lesen yang meragukan’.

Jurucakap PIA, Abdullah Hafeez memberitahu Dawn bahawa pekhidmatan kira-kira 150 juruterbang digantung.

Beliau berkata, pihak pengurusan telah menulis surat kepada Lembaga Penerbangan Awam untuk menyediakan senarai lesen yang didapati meragukan dan juruterbang terbabit digantung tugas, tertakluk kepada siasat ke atas mereka.

“Mereka yang didapati bersalah akan ditamatkan perkhidmatan selepas melalui proses akan datang,” katanya.

Jurucakap tersebut mengakui penemuan dalam laporan siasatan awal yang dipanjangkan ke Parlimen oleh Menteri Penerbangan mengenai kemalangan sebuah pesawat pada 22 Mei lalu yang meragut 97 nyawa dan mengesahkan rancangan penambahbaikan standard keselamatan PIA dalam syarikat dengan menggunakan penemuan laporan tersebut sebagai garis panduan.

Beliau berkata, siasatan isu lesen yang meragukan terbitan pengawal selia penerbangan dikemukakan oleh PIA berikutan sebuah pesawat ATR tersasar landasan di Panjgur pada November 2018 berikutan terdapat beberapa kesilapan asas.

Insiden tersebut menyaksikan siasatan terhadap pengtauliahan juruterbang yang didapati meragukan dilakukan.

Perkara tersebut dilaporkan kepada pengawal selia dan PIA meminta kerajaan menjalankan siasatan peringkat tinggi dengan segera.

Berikutan itu audit forensik yang dilakukan ke atas semua juruterbang yang mendapat lesen di negara itu. Pengurusan PIA terus melakukan siasatan susulan untuk mempercepatkan proses soal siasat namun dihalang pihak yang lebih tinggi. – Agensi