Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat-penjawat Awam Negeri Selangor di Bangunan SUK Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 09 MAC 2020.

SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari masih menunggu empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kembali bertemu beliau selepas satu pertemuan sebelum ini.

Amirudin berkata, status kedudukan keempat-empat ADUN berkenaan hanya akan ditentukan selepas mereka memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh beliau untuk pertimbangan selanjutnya.

“Saya telah bertemu mereka, saya telah minta mereka beberapa perkara, mereka harus kembali kepada saya.

“Saya akan bawa hal itu kepada pengerusi-pengerusi PH untuk memutuskan kedudukan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Selangor, Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan empat ADUN Bersatu yang mengisytiharkan untuk kekal menyokong PH di Selangor pada Khamis lalu.

Antara empat ADUN Bersatu itu ialah Sallehudin Amiruddin (Kuang); Harumaini Omar (Batang Kali); Mohd Shaid Rosli (Jeram) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari yang juga ADUN Selat Klang dan Naib Presiden Bersatu, tidak bersama-sama mereka.

Dalam pada itu, Amirudin mengalu-alu tindakan empat ADUN Bersatu yang menyokong PH Selangor, namun kedudukan mereka hanya boleh diputuskan dalam mesyuarat PH.

“Ada kumpulan A dan B, tapi mereka datang daripada Bersatu, kita akan putuskan kemudian walaupun mereka kelihatan ingin mesra dengan kita.

“Ada solusi yang saya cadangkan kepada mereka tapi mereka belum sampai lagi, belum kembali kepada saya lagi.

“Ketika mereka datang balik dengan permintaan saya itu, dan kita akan bawa ke mesyuarat PH Selangor,” katanya.

Ditanya tentang pengganti kepada kekosongan jawatan Exco yang ditinggalkan ADUN Selat Klang, Amirudin berkata, beliau tidak mahu tergesa-gesa dalam hal itu.

“Kita ambil masa, kalau lepas bercerai pun ada edah, lepas mati nak kahwin lain, teruklah.

“Kita terpaksa ambil masa, tak elok, kita buat secara tertib,” katanya. – MalaysiaGazette